Pengadil bunuh permainan kami – Lim Teong Kim

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Lim Teong Kim menganggap pengadil membunuh permainan pasukannya selepas tewas 2-4 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pengendali berkenaan menyifatkan kad merah yang dilayangkan Omar Mohamed Ahmed Hassan kepada Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-51 selepas didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain lawan sebagai punca utama kekalahan itu.


“Saya fikir selepas kami bangkit mengikat kedudukan 2-2, pengadil membunuh permainan kami. Jika dia tahu mengenai bola sepak, ia jelas bukan kad merah.

“Saya tidak setuju dengan kad merah itu dan ia memberi kesan kepada permainan kami. Beraksi kurang seorang pemain bukan mudah, tapi inilah bola sepak,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan, Khamis lalu, sementara Thailand yang tewas 2-5 kepada Jepun turut mengumpul jumlah mata yang sama.

Anak buah Lim Teong Kim terpaksa menentukan nasib mereka pada perlawanan terakhir kumpulan berdepan Jepun di gelanggang sama pada Rabu ini.

Ditanya adakah beliau akan mengemukakan rayuan kepada AFC mengenai kad merah itu, Teong berkata: “Bagaimana nak merayu, keputusan sudah dibuat.

“Jika lihat video memang bukan kad merah, dia (Luqman) melihat kepada bola dan dia tidak nampak pemain lawan. Itu pergerakan biasa dalam bola sepak.”


Mengulas lanjut mengenai permainan anak buahnya, beliau berkata skuadnya mencipta kemenangan jika bukan kerana kad merah yang dilayangkan itu.

“Gol pertama seperti hadiah daripada pemain saya, mungkin hadiah hari jadi atau hadiah hari raya. Jadi, Thailand perlu berterima kasih kepada pemain saya.

“Bangkit mengikat kedudukan 2-2 sangat membanggakan saya tapi kad merah merencatkan permainan kami.

“Mereka tahu kekuatan dan kelemahan kami, malah kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Jika tiada kad merah kami memiliki peluang untuk menang perlawanan ini,” katanya.

ep2p-5small