Peguam Gesa Tommy Thomas Undur dari Jawatan Peguam Negara

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tommy Thomas digesa meletakkan jawatan kerana didakwa telah menyalahgunakan kuasanya bagi menggugurkan pertuduhan ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon semalam.

Peguam, Datuk Abu Backer Sidek mendakwa, Tommy merupakan individu yang bertanggungjawab bagi merestui tindakan Pengarah Undang-Undang dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Masri Daud untuk bertindak sedemikian.

“Undang-undang jelas menyatakan hanya Peguam Negara sahaja yang boleh mendakwa atau menggugurkan pendakwaan sesuatu kes, bukan seperti yang dilakukan dalam pengguguran kes terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan itu.

“Malah, saya juga kesal apabila Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah bertindak berlebihan dalam kes ini apabila pihak pendakwa hanya meminta supaya kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan tetapi hakim tersebut mengambil keputusan melepaskan kedua-keduanya,” katanya kepada pemberita ketika membuat laporan kepada SPRM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memohon supaya Pejabat Peguam Negara segera untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut yang menggugurkan kes terhadap Guan Eng dan Li Koon.

Sementara itu, Abu Backer turut mendedahkan bahawa Tommy telah menjadi peguam peribadi kepada Menteri Kewangan tersebut sejak 10 tahun lalu dan meminta SPRM menyiasat perkara tersebut.

Katanya, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai peranan Tommy sebelum ini dan pernah membuat laporan kepada SPRM sebaik sahaja Tommy dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu. – UTUSAN

ep2p-5small