Nama pelik dua beradik Durry Yan dan Nur Rambutt’an jadi perhatian

SUNGAI PETANI: Identiti pengenalan diri dua beradik yang nama mereka mirip kepada buah-buahan tempatan menjadi hangat di media sosial.

Dokumen pengenalan diri milik Muhammad Dhury Yan yang lahir pada 21 Ogos 2012 dan adiknya, Nur Rambutt’an yang lahir pada 14 Mac 2017 menjadi bualan hingga tular seluruh negara.


Bapa mereka, Abi Amin Mahayadin, 40, mengakui terkejut dan kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang telah menularkannya.

Menurutnya, sejak menjadi tular, dia menerima kecaman hebat dari netizen namun mengambil pendekatan positif kerana memikirkan tindakan menamakan kedua-dua anaknya adalah keputusan keluarga.

“Nama ni dapat dari orang-orang lama, depa orang baik-baik, ada pertalian keluarga juga, macam pangkat tok-tok, jadi kami ikut sahaja,” katanya.

Menurutnya, ia sama-sekali tiada kaitan dengan nama buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan.

Difahamkan, Muhammad Durry Yan diberi gelaran Yan dalam keluarga manakala Nur Rambutt’an digelar Adik An atau Nora.



Kedua-dua beradik ini juga baharu sahaja menerima kelahiran seorang adik lelaki berusia 20 hari yang belum diberi nama.

“Yang baru ni tak dak nama lagi, tunggu tok depa bagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan masyarakat menghormati keputusan keluarga itu tanpa meninggalkan sebarang persepsi sehingga menjejaskan masa depan anak-anaknya.

Sinar Harian bagaimanapun sempat menemu bual Yan dan Adik An, yang mengakui sukakan buah-buahan tempatan termasuk durian dan rambutan.

Yan berkata, dia suka makan durian dan mengakui adiknya juga sukakan buah rambutan. – SH

ep2p-5small