Najib dakwa rakyat hilang hak kritik kerajaan dibawah pemerintahan Mahathir

Datuk Seri Najib Razak khuatir melihat Pakatan Harapan membisu apabila mahkamah hari ini membenarkan kerajaan persekutuan dan negeri membuat saman fitnah terhadap rakyat sendiri.

Bekas perdana menteri berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu boleh menggugat kebebasan bersuara, media dan hak mengkritik kerajaan.

Najib berkata jika keputusan seperti itu diturunkan ketika Barisan Nasional masih mentadbir, puluhan aktivis, NGO dan ahli politik PH akan berlumba-lumba mengecam keputusan itu sebagai tidak adil, zalim, menindas, berbahaya dan meragut demokrasi.

“Namun sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin PH mengulas tentang keputusan mahkamah hari ini yang bakal memberi kesan yang amat besar,” katanya di Facebook malam tadi.

“Ini kerana kerajaan mempunyai dana and tenaga guaman yang cukup besar bagi memfailkan saman fitnah kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai sumber dana kewangan dan guaman sebesar kerajaan untuk mempertahankan diri mereka.” tambah beliau.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh membuat saman fitnah terhadap individu, dan menolak prinsip Derbyshire dalam “common law” Inggeris yang melarang pihak berkuasa membawa tindakan terhadap orang yang merendahkan reputasinya.

Sebelum ini prinsip itu diterima oleh Mahkamah Rayuan semasa membatalkan saman oleh bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap media.

Najib berkata Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia melarang kerajaan membuat saman fitnah terhadap rakyat masing-masing.

“Keputusan hari ini mungkin memberi ruang yang besar kepada kerajaan PH untuk mengancam hak bebas bersuara dan hak mengkritik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri,” kata Najib.

ep2p-2