Bapa Syafiq Kyle Alami Pendarahan Otak

SUBANG JAYA: Bapa pelakon Syafiq Kyle yang dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika menghadiri majlis bersama peminat anaknya di sini, malam tadi, dikesan mempunyai masalah pendarahan pada bahagian otak.

Menurut Syafiq, bapanya, Abdul Razak Husin, 55, yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, masih tidak sedarkan diri serta berada di bawah pengawasan doktor.

“Menurut doktor, ada berlaku pendarahan pada bahagian otak dan perlu rawatan segera. Bagaimanapun, doktor beritahu kaedah rawatan yang diberi tidak membabitkan pembedahan.

“Ada potensi untuk bahagian pendarahan itu mengecut tanpa perlu dibedah. Buat masa ini, ayah dirawat di pusat perubatan ini kerana doktor mahu memantau keadaannya dari masa ke semasa,” kata Syafiq kepada BH Online.

Reda dengan apa yang berlaku, pelakon filem Langsuir ini mengharapkan peminat dapat mendoakan kesihatan bapanya akan segera pulih seperti sediakala.

“Dengan keadaan kesihatannya yang tidak menentu dan ada sejarah penyakit darah tinggi, saya memang sudah bersedia dan reda dengan apa yang berlaku.

“Harapan saya akan ada perkembangan yang positif dan saya mohon doa daripada peminat supaya ayah akan segera sembuh,” ujar aktor berusia 26 tahun ini.

Insiden yang berlaku pada majlis ramah mesra Syafiq bersama peminat yang diadakan sebuah pusat karaoke di sini, malam tadi, mengejutkan tetamu. Ini kerana sebelum rebah, bapa aktor berkenaan sempat menyanyikan sebuah lagu.

Syafiq yang tiba beberapa minit selepas kejadian, membawa bapanya ke pusat perubatan di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Turut berada di tempat kejadian adalah ibu Syafiq, Rohaya Sulaiman, 55, dan ahli keluarga lain. – BERITA HARIAN

ep2p-5small