Simpanan dadah RM30.4 juta hilang, Dua pegawai kastam antara ditahan

LIMA individu termasuk dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes kehilangan dadah di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, Nilai yang dianggarkan bernilai RM30.4 juta, semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, dua pegawai kastam terbabit ditahan bersama dua pengawal keselamatan yang bertugas ketika kejadian dan seorang orang awam.


Menurutnya, mereka ditahan polis susulan laporan yang dibuat JKDM selepas kejadian jam 3 pagi itu.

“Dalam kejadian itu, suspek memecahkan sebuah kontena yang dirampas kastam dalam serbuan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini. Kontena berkenaan ditarik dan disimpan di Pejabat Cawangan Narkotik untuk tujuan siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, suspek disyaki melarikan tujuh kotak mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin yang dianggarkan seberat 50 kilogram dari kontena berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Subromaniam berkata, semua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan di peringkat dalaman mengenai kemungkinan terdapat pembabitan pegawai kastam berhubung kejadian itu.



“Selain tindakan yang diambil polis, JKDM juga akan mengambil tindakan tegas termasuk membuang kerja terhadap pegawai yang disyaki terbabit.

“JKDM turut meningkatkan rondaan dan meletakkan Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA) untuk memperketatkan tahap kawalan keselamatan di lokasi kejadian dan semua stor simpanan barang rampasan di seluruh negara,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, sekumpulan 10 lelaki bertopeng yang menaiki dua pacuan empat roda dan sebuah kereta meluru masuk ke pondok pengawal keselamatan sebelum membelasah seorang daripada dua pengawal bertugas.

Pengawal keselamatan terbabit dipukul menggunakan kayu menyebabkan dia cedera di kepala, kaki dan tangan sebelum mangsa dan seorang lagi pengawal keselamatan diikat kaki, tangan dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Penjenayah dikatakan memecahkan satu daripada 10 kontena sebelum melarikan sejumlah kotak barangan dipercayai dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan memberitahu satu sidang media mengenai perkembangan siasatan akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, jam 11 pagi esok. HMetro


Comments

comments

ep2p-5small