Ronaldo, Modric, Salah calon Pemain Terbaik UEFA

Image result for salah modric ronaldo UEFANYON, Switzerland 20 Ogos – Anugerah Pemain Terbaik UEFA 2018 tidak akan menjadi milik mana-mana bintang daripada skuad juara Piala Dunia 2018, Perancis.

Sebaliknya, anugerah tersebut akan menjadi rebutan antara Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Mohamed Salah.

Anugerah UEFA, penghormatan yang diberikan kepada pemain yang beraksi dalam liga di Eropah, termasuk pemain bukan Eropah ditentukan berdasarkan undi jurulatih-jurulatih Liga Juara-Juara serta wartawan sukan seluruh Eropah.


Tiga pemain Perancis berada dalam kedudukan 10 terbaik iaitu Antoine Griezmann (Atletico Madrid, keempat), Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain, keenam) dan Raphael Varane (Real Madrid, kelapan).

Bagaimanapun tiada seorangpun berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga calon akhir yang didominasi Ronaldo, Modric dan Salah, yang masing-masing beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Anugerah berkenaan biasanya dibuat berdasarkan prestasi pemain dalam Liga Juara-Juara tetapi keputusan Piala Dunia di Rusia juga boleh diambil kira. Jurulatih tidak dibenarkan mengundi pemain daripada pasukan sendiri.

“Pemain dinilai berdasarkan prestasi mereka dalam semua pertandingan – domestik, benua dan antarabangsa,” kata badan bola sepak Eropah, UEFA dalam satu kenyataan hari ini.



Pemenang akan diumumkan di Monaco pada 30 Ogos, pada hari yang sama undian Liga Juara-Juara musim 2018/2019 dilakukan.

Pada Piala Dunia di Rusia, Griezmann memenangi anugerah Bola Gangsa iaitu pemain ketiga terbaik kejohanan, manakala Mbappe muncul pemain muda terbaik.

Modric yang membantu Real mengalahkan Liverpool 3-1 dalam final Liga Juara-Juara pada 27 Mei lalu memenangi anugerah Bola Emas selepas membawa Croatia muncul naib juara dunia.

Ronaldo, yang meninggalkan Real untuk menyertai Juventus memenangi anugerah Pemain Terbaik UEFA setiap kali pasukannya muncul juara Eropah.

Buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, Lionel Messi tidak tersenarai dalam tiga calon akhir, meskipun membantu Barcelona muncul juara La Liga dan Copa del Rey. – AGENSI


Comments

comments

ep2p-5small