Piala AFF B-16: Malaysia terkandas dalam separuh akhir

Piala AFF B-16: Malaysia terkandas dalam separuh akhir Tuan rumah, Indonesia, menempah tiket ke final Kejohanan Piala AFF B-16 dengan memadamkan peluang Malaysia menerusi jaringan tunggal Amirudin Bagus Kahfi Alfikri dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, corak permainan Malaysia yang dibimbing Raja Azlan Shah Raja So’ib sama sekali tenggelam dengan aksi yang diperagakan skuad Garuda Muda itu.


Terdahulu, Malaysia yang muncul naib juara Kumpulan B di belakang Thailand, memastikan pertemuan yang cukup dinanti-nantikan oleh peminat.

Pertembungan ini juga ibarat ulangan aksi final edisi 2013 di Myanmar yang menyaksikan Indonesia dikecewakan Malaysia dalam penentuan penalti 3-2.

Sejak wisel pertama ditiupkan, Malaysia dikerah untuk mengekang asakan lawan.

Sesekali, skuad remaja negara mengintai peluang menerusi serangan balas yang dijana hantaran jauh untuk memerangkap lawan.

Keadaan tidak banyak berubah ketika perlawanan dilanjutkan pada 45 minit berikutnya.



Hanya apabila Malaysia mula mencaturkan kekemasan di jentera serangan, Indonesia yang mematahkan serangan tersebut di dalam kotak penalti, melakukan empat sentuhan sebelum memastikan bola sampai ke kubu Malaysia.

Pertahanan Malaysia dihukum kepantasan Mohammad Supriadi apabila penyerang tersebut dijatuhkan, lalu menghadiahkan penalti buat tuan rumah.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Bagus Kahfi untuk merobek gawang Malaysia pada minit ke-72 biarpun penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri, sudah dapat mengagak tendangan rendah ke sudut kirinya.

Gol itu juga secara tidak langsung membawa Bagus Kahfi menghampiri Anugerah Kasut Emas dengan cetakan jaringan ke-12.

Malaysia berpeluang untuk memperbaiki pencapaian tempat keempat edisi tahun lalu apabila berdepan Myanmar bagi penentuan tempat ketiga Sabtu ini sambil Indonesia mengintai kejuaraan sulung apabila berhitung dengan juara tiga kali, Thailand .


Comments

comments

ep2p-2