MB Perak Nafi Terlibat Penganjuran Majlis Amal Tampil Penyanyi Seksi



IPOH Kerajaan negeri menafikan terlibat dalam penganjuran satu majlis amal yang menampilkan seorang penyanyi wanita berpakaian seksi yang tular dalam laman sosial.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau serta Pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjuran majlis sedemikian.

Menurutnya, beliau telah meminta pihak berkaitan untuk menyemak kaitan kerajaan negeri dengan majlis tersebut dan makluman yang diterima menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri pada majlis tersebut.

“Justeru itu saya menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya, pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak secara langsung atau tidak langsung dengan majlis itu.

“Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar Perak dan juga kerajaan Perak keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam klip video berdurasi 1 minit 24 saat itu yang tular di laman sosial, seorang penyanyi wanita kelihatan tampil membuat persembahan tarian dan nyanyian dengan pakaian seksi pada satu majlis makan malam yang difahamkan dianjurkan semalam.

Terpapar pada skrin besar dalam video tersebut ialah ‘Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak. Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang Ke-14 Tahun 2018. Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam’.

Turut dipaparkan pada skrin besar dalam video tersebut ialah ‘Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu terhormat YB M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) dan YAB Ahmad Faizal Azumu (Menteri Besar Perak)’.

Pihak penganjur juga didapati menggunakan logo Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

Menurut Ahmad Faizal, susulan kejadian yang mendukacitakan ini, beliau telah mengarahkan pihak yang mahu menggunakan imej beliau atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu.

“Ini bertujuan melindungi imej institusi Menteri Besar Perak dan imej kerajaan negeri Perak secara keseluruhannya daripada sebarang acara atau aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum, serta menyentuh perkara-perkara sensitif,” katanya. – UTUSAN



ep2p-2