Cadangan Mansuh Semua Kutipan Tol Bukan Langkah Bijak – Daim Zainuddin



KUALA LUMPUR – Cadangan mengapa penghapusan tol di seluruh negara disifatkan tidak bijak dilakukan pada masa ini antara perkara yang diterangkan dalam laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, terdapat banyak cadangan menerangkan mengenai idea penghapusan tol dalam laporan CEP dan sebab mengapa ianya tidak sesuai dilakukan.

“(Laporan) kenapa idea untuk hapuskan tol semua dalam keadaan kewangan semasa negara tidak bijak dibuat pada peringkat ini.

“Saya rasa rakyat juga akan faham mengapa dan semua laporan cadangan ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya beliau dari China,” katanya pada sidang media di Menara Ilham di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Daim berkata sepanjang 100 hari lalu, CEP telah bertemu lebih dari 350 orang daripada lebih 200 organisasi antaranya penguatkuasaan perbankan persatuan perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana, pengeluar, peruncit, kontraktor, pemandu teksi, penjaja, petani, aktivis, artis, badan bukan kerajaan dan masyarakat kurang upaya.

“Pembabitan dengan semua pihak berkepentingan penting ini membolehkan kami mengumpulkan input dan isu yang dihadapi ekonomi dan rakyat.

“Kerajaan dan rakyat harus bersedia untuk membuat dan menerima apa sahaja keputusan yang sukar bagi manfaat jangka panjang negara.

“Tiada penyelesaian pantas terhadap masalah yang dikenal pasti oleh CEP selain banyak lagi cabaran perlu ditempuhi di hadapan,” katanya.



ep2p-5small