KUALA LUMPUR 19 Julai – Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengadakan sambutan yang disifatkan ‘lain daripada yang lain’ serta unik bagi meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super bagi musim kelima berturut-turut.


Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini mendedahkan, sambutan akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru esok dan berlangsung secara besar-besaran dengan pelbagai program yang pasti akan dikenang oleh penyokong Harimau Selatan.

Antara kelainan yang bakal diadakan dalam sambutan kali ini adalah susun atur, rekabentuk serta pencahayaan pentas utama yang berbeza.



JDT juga akan menyajikan pertunjukan laser berwarna-warni di pentas utama, selain pertunjukan bunga api berirama terbesar untuk meraikan kejuaraan bersejarah ini.

Mini karnival juga adakan diadakan bermula seawal pukul 2 petang hingga lewat malam, yang mana pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis dan kebudayaan Johor.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan lebih awal selepas menumpaskan Perak 2-1 di Ipoh, 10 Julai lalu. – UTUSAN


Comments

comments