Pahang masih ada harapan beraksi di peringkat Asia

Image result for pahang juara piala fa 2018KUALA LUMPUR 9 Julai – Peluang Pahang untuk ber­aksi dalam Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC belum tertutup namun mereka perlu segera mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, biarpun skuad Tok Gajah dilarang menyertai sebarang kejohanan peringkat Asia sehingga 2020 selepas digantung dua tahun, namun Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) boleh membuat rayuan kepada jawatankuasa ­rayuan badan induk tersebut.

“Lembaga disiplin sudah membuat keputusan untuk menggantung Pahang, namun itu bukan bermakna mereka tidak boleh mengemukakan rayuan. FAM tidak menghalang mereka untuk mengemukakan rayuan.

“Hantar permohonan kepada FAM dan biar jawatankuasa ­rayuan bersidang untuk membuat keputusan.

“Lepas atau tidak itu saya tidak tahu cuma saya nak beritahu ruang untuk Pahang masih ada.



“Mereka boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa tetapi lagi cepat lagi bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pahang memperoleh satu slot ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan selepas menjulang Piala FA dengan menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. Satu lagi slot bakal menjadi milik juara Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, skuad Tok Gajah digantung dua tahun oleh FAM kerana menolak untuk mewakili Malaysia dalam Piala AFC musim ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC.


Tawaran itu ditolak oleh Pahang kerana diterima agak lewat dan persiapan lebih yang dilakukan terarah kepada pertandingan domestik.

Akibatnya, Pahang didapati melanggar Artikel 14 Sta­tut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftar pa­sukan ke Piala AFC musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk dua tahun, bermula musim ini.

Begitupun, sejurus selepas kemenangan ke atas Selangor, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, adalah satu kerugian jika Tok Gajah tidak beraksi dalam saingan Asia memandangkan mereka memiliki skuad yang mampu memberi cabaran.


Comments

comments

ep2p-2