Lim Kit Siang Kunci Mulut Isu Sijil UEC Sekolah Cina



KUALA TERENGGANU – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hanya mengunci mulut apabila ditanya berhubung kontroversi isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melibatkan sekolah persendirian Cina yang makin menimbulkan bantahan meluas daripada pelbagai pihak.

Sebaliknya, Ahli Par­limen Iskandar Puteri itu menyerahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching untuk menyelesaikan tugasan tersebut yang menjadi salah satu janji dalam manifesto untuk dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) apabila memerintah negara.

“Ini (tugas) Timbalan Menteri Pendidikan, kita serah kepada beliau,” ujarnya tanpa mengulas lanjut ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Pejabat Perkhidmatan DAP Terengganu di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Biro Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wu; Pengarah Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen serta Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hin.

Pengiktirafan yang mula diberikan oleh kerajaan negeri Melaka itu disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai satu sabotaj terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan tidak lagi menjadi bahasa penyatuan rakyat.

Semalam, Nie Ching dipetik dalam satu portal berita sebagai berkata, beliau mahu pengiktirafan UEC yang merupakan sebahagian daripada janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diselesaikan sebelum hujung tahun ini sambil menyatakan UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, isu itu mendapat pandangan berbeza daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mahu pendekatan holistik supaya pelaksanaannya kelak tidak menjejaskan perpaduan kaum dan menggadaikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang turut enggan memberi sebarang komen mengenai desas-desus namanya disenaraikan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Tegasnya, soal jawatan dan kedudukan bukan menjadi keutamaannya dalam dunia politik sebaliknya, apa yang lebih mustahak adalah untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“DAP dalam PH ada perbincangan dan terpulang kepada DAP dan pucuk pimpinan PH. Apa yang penting adalah kita mahu memastikan kita berjaya dan harapan rakyat boleh ditunaikan,” ujarnya. – Utusan



ep2p-2