Huawei Akan Menggantikan Takuk Skrin Dengan Lubang Kecil Di Masa Hadapan – Amanz

Menerusi pungutan suara tidak saintifik yang kami lakukan di media sosial dan ruangan komen Amanz, ramai yang tidak menyukai trend skrin bertakuk yang popular sekarang. Ia digunakan oleh Apple, Xiaomi, LG, Oppo, Vivo, OnePlus, Huawei dan Honor pada peranti terkini mereka. Tetapi nampaknya Huawei mempunyai perancangan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada takuk seawal suku ke-empat tahun ini.

Menurut laporan ETNews, Huawei akan menggantikan takuk dengan lubang kecil untuk kamera pada sebuah peranti yang akan dilancarkan pada suku ke-empat 2018. Peranti ini mempunyai skrin sebesar 6.39″ dan ini besar kemungkinan ialah Mate 20 yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini.

Sensor cahaya, gagang telinga dan sensor jarak dekat akan diletakkan pada bezel atas yang nipis. Kamera dipindahkan ke dalam lubang kecil pada skrin. Ini berbeza dengan rekaan pada Essential Phone dan lebih menyerupai paten yang difailkan oleh Samsung. Apakah pendapat anda tentang rekaan alternatif ini?

ep2p-5small