Facebook Lulus Elaun Keselamatan Mark Zuckerberg AS$10 Juta

mark zuckerberg runLOS ANGELES, Califor­nia – Gergasi laman jari­ngan sosial, Facebook me­luluskan elaun berjumlah AS$10 juta(RM40.6 juta) untuk meningkatkan kawalan kesela­matan keluarga pengasasnya, Mark Zuckerberg.

Elaun sebelum cukai itu bertambah berbanding peruntukan serupa AS$7.3 juta (RM29.6 juta) yang diluluskan tahun lalu untuk keselamatan rumah, menggaji pengawal peribadi dan membayar penerbangan sewa khas. Firma penyelidikan Equilar menyatakan, elaun itu adalah termahal pernah diperuntukkan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersenarai dalam Fortune 100.


Ia yang diumumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, bertujuan untuk menangani ‘kebimbangan keselamatan ber­ikutan ancaman spesifik’.

“Elaun ini sebagai tambahan kepada peruntukan berterusan bagi membiayai keseluruhan program keselamatan Zucker­berg,” kata Facebook dalam do­­­kumen yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu.

Menurut syarikat laman sosial itu, elaun tinggi tersebut wajar berikutan Zucker­berg adalah penting kepada Facebook.

CEO tersebut dibayar gaji cuma AS$1(RM4.06) pada tahun lalu.

Pada tahun 2015 pula, kos kawalan keselamatan Zuckerberg berjumlah AS$4.25 juta (RM17.27 juta).

Saluran berita CNBC mela­porkan bahawa Zuckerberg mempunyai pasukan 16 pengawal peribadi yang me­ngawal rumahnya di Palo Alto, California.



Bajet keselamatan Zuckerberg adalah amat tinggi berbanding CEO lain. Se­bagai perbandingan, bos Ama­zon, Jeff Bezos membelanjakan AS$1.6 juta (RM6.5 juta) untuk kawalan keselamatan pada 2016, manakala ketua Apple, Tim Cook membayar cuma AS$224,000 (RM910,088) bagi tujuan serupa pada tahun sama.

Kenaikan elaun Zuckerberg itu diumumkan pada hari sama saham Facebook menjunam 19 sen (RM0.77), mengakibatkan nilai syarikat itu berkura­ngan sebanyak AS$119 bilion (RM483.4 bilion), manakala kekayaan peribadi beliau susut AS$12 bilion (RM48.7 bi­lion) dalam masa kurang 24 jam.

Kekayaan bersih pengasas Facebook itu kini berjumlah AS$74 bilion (RM300.6 bilion), menyebabkan kedudukannya me­rosot ke tangga kelima senarai manusia terkaya di dunia.– Agensi


Comments

comments

ep2p-5small