Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka Kata Shahanim



SUNGAI PETANI – Ketua Umno Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusuff bersedia untuk menerima penarikan perletakkan jawatan Naib Ketua Bahagian dan dua ketua sayap bahagian itu demi kepentingan parti.

Shahanim melalui satu surat yang dikeluarkan petang tadi berkata pihaknya menyambut baik keputusan tersebut namun mengarahkan mereka yang terlibat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka bagi memulihkan imej parti yang telah tercalar.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani yang telah diberi mandat oleh para perwakilan, saya menerima dan menyambut baik penarikkan perletakan jawatan tersebut atas dasar mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi serta bagi memastikan jentera UMNO Bahagian Sungai Petani terus kuat bagi berdepan dengan cabaran politik semasa yang lebih mencabar di masa hadapan.

“Walau bagaimanapun, pihak Tuan Puan diminta untuk memberikan surat tunjuk sebab serta membuat kenyataan maaf secara terhadap UMNO Malaysia, UMNO Negeri Kedah dan UMNO Bahagian Sungai Petani.

“Ini kerana kenyataan yang dilemparkan kononnya wujud salah laku politik wang dalam pemilihan Umno Bahagian Sungai Petani sebelum ini merupakan satu tuduhan yang berat serta telah memberikan persepsi yang negatif terhadap parti UMNO secara keseluruhan,” katanya.

Shahanim turut berkata memberikan mereka tempoh selama 7 hari untuk membuat permohonan maaf bagi mengelakkan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

“UMNO Bahagian Sungai Petani memberi tempoh tujuh (7) hari kepada pihak Tuan Puan untuk memenuhi tuntutan yang dinyatakan tadi.

“UMNO Bahagian Sungai Petani akan menghantar satu laporan rasmi kepada Lembaga Disiplin Umno bagi membolehkan tindakan di ambil sekiranya pihak Tuan Puan gagal untuk memberikan kerjasama seperti yang diharapkan,” tegasnya pula.

Ahad lalu, Naib Ketua Umno Bahagian, Muhamad Effendi Mashum bersama Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad; Ketua Pemuda, Mohd Rahmat Darus dan Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff mengumumkan untuk melepaskan jawatan.

Mereka mendakwa wujud politik wang ketika pemilihan Umno Bahagaian Sungai Petani yang diadakan 30 Jun lalu.

Bagaimanapun semalam Effendi, Wan Mohalina dan Mohd Rahmat menarik kembali keputusan untuk meletakkan jawatan sambil menyifatkan kenyataan tempoh hari dibuat kerana dipengaruhi emosi.

Namun Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff tidak hadir pada sidang media yang diadakan itu. – SuaraTV



ep2p-5small