Lim Kit Siang Desak Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan Letak Jawatan



KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin meletak jawatan bagi menamatkan ‘krisis perlembagaan’.

The Star melaporkan, Kit Siang berkata, pelantikan semula Md Raus dan Zulkefli ke jawatan itu mencetuskan kontroversi kerana mereka telah mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun dan enam bulan.

“Apabila Raus dilantik semula sebagai Ketua Hakim Negara, beliau berkata pelantikannya sebagai Ketua Hakim belum pernah berlaku dan apabila sesuatu berlaku untuk kali pertama akan timbul banyak perbezaan pendapat, “katanya.

“Apa yang tidak dapat dipertikaikan ialah pelantikan semula Md Raus dan Zulkefli ke dua jawatan hakim telah menimbulkan banyak kritikan dan bantahan,” katanya.

Kit Siang berkata, kritikan terhadap pelantikan semula mereka dilihat amat sulit apabila datangnya dari pendapat awam dan badan perundangan.

Beliau berkata, pengkritik termasuk bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam.

“Peletakan jawatan dari Md Raus sebagai Ketua Hakim dan Zulkefli sebagai Presiden Mahkamah Rayuan membolehkan satu permulaan yang tepat untuk pembaharuan kehakiman dan undang-undang yang sangat diperlukan di negara ini,” katanya.

Pada 2017, Pakatan Harapan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan dalam pelantikan semula Md Raus dan Zulkefli. – Sinar



ep2p-5small