Bawa Fahaman Songsang Temuramah Siti Kasim Di Bernama Dibatalkan



KUALA LUMPUR – Ekoran kontroversi dan ideologi yang disifatkan melampau, program temuramah secara langsung Bernama News Channel (BNC) bersama Siti Kasim dibatalkan.

Menurut Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama, Ridzuan Mohd Ghazali beliau terkejut apabila dimaklumkan stesyen tersebut akan menjemput peguam kontroversi itu untuk satu program bual bicara.

“Sebagai seorang Muslim, saya menyangkal sekeras-kerasnya fahaman dan ideologi yang dibawa wanita berkenaan.

“Jadi, saya sangat terkejut apabila mendapat tahu bahawa dia akan ditemuramah secara langsung di Bernama News Channel (BNC).

“Sebagai seorang petugas Bernama, saya merasakan perlu untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

“Sekiranya program ini akan diteruskan, saya akan berusaha untuk membantah dan memberi nasihat dengan hikmah. Ini perjuangan saya,” ujarnya melalui satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya sebentar tadi.

Menurut Ridzuan, program tersebut akan dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak pengurusan sambil menyifatkan Siti Kasim membawa ideologi sonsang.

“Saya turun lif menuju ke aras G lalu terus ke jabatan BNC. Pejabat masih gelap (kerana ketika itu sekitar jam 7 pagi). Namun bilik Pengarah Operasi BNC sudah terang. Bagus. Saya mengetuk pintu bilik dan meminta izin untuk masuk.

“Setelah bertanya khabar, saya terus bertanya berkenaan program berkenaan. Beliau juga berasa terkejut kerana poster itu sudah tular. Menurut beliau lagi, program berkenaan belum mendapat sebarang kelulusan daripada beliau. Pihak penerbit (atau rakan sejawatannya) terlebih dahulu meuar-uarkan poster berkenaan di media sosial.

“Beliau juga menegaskan bahawa beliau sangat tidak bersetuju untuk mengundang wanita terbabit. Kebebasan bersuara di negara ini ada batasannya. Bebas bukan bermakna boleh menyebarkan fahaman dan ideologi songsang yang boleh jelas bercanggah dengan syariat Islam,” tulisnya lagi.

Ridzuan turut menjelaskan Bernama tidak pernah menyokong mana-mana ideologi yang bertentangan dengan Islam.

“Alhamdulillah. Ini bermakna program berkenaan tidak akan menjadi kenyataan.

“Jadi saya menulis hantaran (posting) ini sebagai satu tanggungjawab bagi menjelaskan bahawa tindakan penerbit atau rakan sejawatannya tidak mencerminkan Bernama secara keseluruhannya. Kami tidak menyokong sebarang ideologi atau fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam.

“Selain itu, kita juga harus selidik kebenaran sesuatu berita. Saya berasa amat kesal membaca komen-komen di poster tersebut. Ramai yang terus-menerus, menyalahkan secara total para ulama dan agamawan, menyalahkan agensi-agensi Islam, menyalahkan pemimpin-pemimpin, serta menyalahkan kerajaan hari ini.

“Usah terlalu cepat melenting. Kita perlu rasional dalam mengambil tindakan. Kata-kata atau tulisan kita mencerminkan keperibadian kita,” tegasnya pula.

Terdahulu Siti Kasim melahirkan rasa terkejut apabila menerima undangan untuk di wawancara oleh pihak Bernama. – SuaraTV



ep2p-5small