PAS Tidak Kesal Tinggalkan PH – Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU – PAS tidak menyesal meninggalkan bekas sekutunya, Pakatan Harapan (PH) yang kini berjaya menerajui negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mempunyai banyak pengalaman jatuh bangun politik, situasi itu adalah biasa buat parti itu dan tidak sesekali menggoyahkan mereka untuk terus memperjuangkan Islam.

“Kita tidak menyesal… Kita pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, pernah kalah dan menang. Rebah bangun dalam politik itu biasa.

“Kawan jadi musuh, musuh jadi kawan. Sebab itu kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Terengganu yang baru, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Istana Syarqiyyah, di sini malam tadi.

Abdul Hadi turut menyentuh kesediaan PAS membuka pintu rundingan dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), atau Pakatan Harapan untuk memberi kebaikan kepada Islam dan rakyat

Kaatanya, parti-parti terbabit perlulah mengikut dasar Islam PAS di samping keputusan Majlis Syura Ulama.

Dalam perkembangan lain, beliau mendoakan supaya kerajaan PH yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengulangi kesilapan lalu semasa masih berkhidmat sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Kerajaan Pusat mesti menghormati kerajaan negeri. Dalam perlembagaan, perjanjian sudah ada. Selama ini mereka tidak menghormati (hak negeri), kita harap tidak berulang dan tiada lagi campur tangan dalam urusan kerajaan negeri,” katanya. – AntaraPos

ep2p-2