BSKL Terima Kejutan Pasca Peralihan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini susulan kejutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 31.72 mata pada 1,814.79 daripada 1,846.51 penutup Selasa.

Indeks itu dibuka 32.06 mata lebih rendah pada 1,814.45.

Peniaga berkata, kekalahan tidak diduga Barisan Nasional (BN) kepada PH pada PRU14 Rabu lalu adalah kejutan negatif bagi pasaran saham tempatan berikutan ia mencetuskan ketidaktentuan.

“Sehubungan itu, pembetulan ketara dijangka hari ini,” katanya.

Katanya, sokongan semerta ialah pada 1,811 dan halangan semerta pada 1,865.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank susut 14 sen kepada RM10.56, Public Bank susut dua sen kepada RM23.86, Tenaga turun 46 sen kepada RM15.60 dan CIMB turun 64 sen kepada RM6.26.

Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM8.43.

Dalam kalangan kaunter aktif, Sapura Energy menambah sembilan sen kepada 76 sen, Eden Inc menokok 14 sen kepada 31 sen, Opcom naik 30 sen kepada 90.5 sen dan Berjaya Corporation menambah 5.5 sen kepada 36 sen.

Cuscapi turun 14.5 sen kepada 21 sen.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 292 berbanding 206, manakala 140 tidak berubah dengan 1,241 tidak didagangkan dan 29 yang lain digantung.

Sejumlah 314.78 juta saham bertukar tangan bernilai RM306.7 juta. – BERNAMA

ep2p-2