TRX, Bandar Malaysia Bukti Kejayaan 1MDB

JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kanda­samy mahu 1MDB diukur berdasarkan kejayaan syarikat milik kerajaan itu merealisasikan pembinaan dua projek meganya iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu sekali gus menafikan segala tohmahan yang sering dilontarkan terhadap syarikat berkenaan selama ini.

“Masyarakat boleh melihat dan menilai sendiri pembangunan yang sedang giat berjalan di sekitar TRX yang sehingga hari ini masih berjalan dan terus mendapat perhatian pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada program Diskusi 1Minda 1Bicara 1MDB di sini malam kelmarin.

Menurut Arul, walau apapun fitnah yang ada, syarikat 1MDB tidak bankrap dan masih berupaya membayar hutangnya serta memba­ngunkan aset-aset yang ada.

“Sehingga kini kita telah berjaya menarik pelabur ke TRX seperti HSBC Bank Malaysia Bhd. yang bakal membina ibu pejabat terbesar di Asia Tenggara selain Prudential, Affin Bank Bhd., Lembaga Tabung Haji dan banyak lagi,” katanya, lapor Bernama

Arul menegaskan, nilai aset milik 1MDB ketika ini adalah sebanyak RM43 bilion, melebihi nilai hutang semasa yang berjumlah RM31 bilion, yang mana majoriti aset tersebut merupakan sektor harta­nah yang dilihat mempunyai jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk membayar hutang syarikat berkenaan.

ep2p-2