TMJ tak jadi lepas jawatan?

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim dijangka membuat pusingan U, esok dengan menarik balik semula keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Mac lalu.


Ia susulan daripada rayuan dan desakan pelbagai pihak yang sangat mengharapkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu kekal meneraju badan induk berkenaan.

Keputusan sama ada TMJ bakal menarik balik hasratnya itu dijangka diketahui pada Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang akan berlangsung di Johor Bahru.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah percaya segala rayuan dan harapan yang diluahkan pelbagai pihak pasti akan dinilai sepenuhnya TMJ untuk mengubah keputusan beliau meninggalkan kerusi nombor satu itu.



Malah, beliau berkata masih terlalu awal untuk TMJ melepaskan jawatan kerana masih banyak yang perlu dilakukannya untuk mencapai misi mengubah landskap bola sepak negara.

“Saya jangka TMJ kekal (sebagai Presiden FAM). Malah, dari segi rasionalnya terlalu awal untuk beliau letak jawatan, baru setahun, jika sudah satu penggal lain cerita.

“Banyak pihak yang mahu dia kekal, beliau pasti akan nilai semua itu sebaik mungkin. Cuma sekarang beliau perlu sabar dan jangan terlalu melayan kritikan tidak munasabah, khususnya di media sosial.

“Presiden adalah orang penting, bukan macam exco biasa dan kita tidak boleh lari daripada dikritik. Jadi, mana kritikan yang baik itu boleh diambil sebagai iktibar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Keputusan mengejut daripada TMJ itu dikatakan didorong atas prestasi buruk skuad Harimau Malaya yang menyaksikan ranking skuad kebangsaan menjunam ke tangga 178 dunia, kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun hasrat itu tidak dipersetujui ramai pihak khususnya EXCO FAM yang masih mengharapkan kepimpinan Tunku Ismail untuk melakukan perubahan dalam bola sepak tanah air.

Pada kongres itu juga, FMLLP dijangka mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana yang dihukum kerana gagal melengkapkan pendaftaran selepas tarikh akhir pada 3 Februari lalu.

Empat pasukan Liga Super termasuk Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS, dan Selangor didenda RM1.5 juta, manakala enam pasukan dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM pula didenda FC RM500,000. HMetro


Comments

comments

ep2p-2