Siasat Keluarga Tun M | SUARA TV

SUNGAI PETANI – Sekumpulan ahli Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah ini mengadakan demonstrasi di hadapan Masjid Mudzzafar Shah di sini hari ini bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kekayaan keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peserta demonstrasi tersebut juga mendesak Kerajaan Pusat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali agar kisah sebenar di sebalik kejadian itu diketahui umum.

Wakil kumpulan itu, Muhammad Nabi Bux Muhammad Nabi Abdul Sattar, 67, berkata, kemewahan luar biasa yang dimiliki keluarga Dr. Mahathir termasuk salah seorang anaknya, Tan Sri Mokhzani yang tersenarai antara individu terkaya di negara ini perlu disiasat kerana keturunan mereka bukan terdiri daripada bangsawan.

“Kami hairan kerana keturu­nan mereka sejak dulu tidak mempunyai kekayaan yang boleh diwarisi.

“Sebaliknya selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, kita mendapati seluruh ahli keluarganya menjadi jutawan de­ngan memiliki pelbagai aset luar biasa,” katanya dalam demonstrasi tersebut.

Pada masa sama, Muhammad Nabi Bux turut mendakwa, isu Memali yang berlaku di zaman pemerintahan Dr. Mahathir juga dilihat bukan sahaja cuba ditutup sebaliknya sengaja diletakkan kesalahan atas pihak lain.

“Sepatutnya isu tersebut disiasat melalui penubuhan RCI kerana ia merupakan langkah terbaik mengetahui keadaan sebenar, siapa bersalah daripada membuat tuduhan melulu hingga menyusahkan banyak pihak.

“Keputusan siasatan ini nanti juga bukan sahaja dapat memberi bukti sebenar kejadian tetapi turut menghilangkan trauma kepada waris mangsa Memali yang sebelum ini dituduh penentang kerajaan,” katanya.-Utusan

ep2p-5small