Ini Ialah GrayKey – Kotak Yang Boleh Memintas Sistem Sekuriti iPhone – Amanz

Kami melaporkan tentang kewujudan GrayKey dua minggu yang lalu. Kotak kecil ini boleh dibeli oleh pihak berkuasa untuk memintas skrin kunci keselamatan peranti iOS dan Android. Pihak Grayshift yang menghasilkan GrayKey berkata sistem mereka turut boleh memintas iPhone X yang menggunakan iOS 11.2.5.

Pihak Malwarebytes telah mendapat akses kepada gambar alat yang penuh rahsia ini. Ia adalah sebuah kotak sebesar 4x4x2 inci berwarna kelabu dengan dua sambungan Lightning di bahagian hadapan. Peranti disambung kepada GrayKey selama dua minit untuk memulakan proses pintasan.

Selepas itu ia ditanggalkan dan penantian bermula. Masa yang diambil untuk memintas kod kekunci peranti sepanjang enam angka ialah sekitar tiga hari. Ia akan menjadi semakin lama dengan panjang kod kekunci yang digunakan.

Kandungan peranti kemudian boleh dimuat turun dan pendua penuh boleh diakses oleh pihak berkuasa. Apple setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai GrayKey. Agak merisaukan ialah bekas kakitangan sekuriti Apple dan agensi keselamatan Amerika Syarikat bertanggungjawab ke atas rekaan GrayKey. Buat masa ini kotak pemintas ini hanya boleh dijual kepada pihak berkuasa sahaja pada harga bermula dari $15,000 (~RM 58,700) sebuah.

ep2p-2