76 Kakitangan HTAR Keracunan Makanan

KLANG – Seramai 76 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini mengalami keracunan makanan sejak 28 Februari lalu, selepas dipercayai makan makanan tercemar.

Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming dalam satu kenyataannya hari ini, mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan keracunan dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan oleh katerer swasta dari luar hospital.

“Siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan keracunan makanan berlaku selepas kakitangan memakan makanan yang disajikan selepas mesyuarat jabatan berkenaan pada Rabu lalu.

“Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal sudah menguruskan keadaan dengan baik untuk memastikan operasi hospital berjalan lancar,” katanya, lapor BH

Beliau berkata, semua pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif tidak terjejas berikutan hanya satu jabatan yang terjejas.

Bagaimanapun, katanya, beberapa pembedahan elektif yang dijadualkan pada semalam dan hari ini ditangguhkan.

“Bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat dari semua pihak yang terbabit membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.

“Pihak berkuasa yang berkaitan dari Kementerian Kesihatan juga akan melakukan tindakan pemulihan yang diperlukan dan kami menunggu keputusan siasatan penuh,” katanya.

Dr Ding juga menafikan keracunan makanan itu berkaitan dengan demam kepialu.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 50 kakitangan di Jabatan Anestesiologi HTAR mengalami keracunan makanan sejak Khamis selepas menghadiri mesyuarat mingguan jabatan itu.

ep2p-2