Soo Wincci Rai Tahun Anjing Di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Demi mengejar ilmu, penyanyi dan pelakon, Dr Soo Wincci terpaksa menjeruk rasa apabila menyambut Tahun Baru Cina jauh di Sepanyol.

Soo yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik dengan pengkhususan produksi, teknologi dan inovasi di kampus cawangan Berklee College of Music di Valencia, rupa-rupanya sudah lima bulan berkelana di negara itu.

“Memang sedih kerana pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, saya berjauhan dengan keluarga.

“Namun, saya sempat menghubungi semua anggota keluarga ketika mereka menikmati makan besar, malam tadi,” katanya ketika dihubungi BH Online melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, Soo berkata, dia sudah biasa bersendirian dan menyambut tahun baharu tanpa ditemani keluarga.

“Ini kerana sejak beberapa tahun lalu, saya terikat dengan tuntutan kerja. Jadi, saya bagai sudah biasa dengan situasi ini.

“Sekarang saya sedang sibuk belajar. Jadi, terpaksalah saya utama pelajaran dulu. Kalau rindu dengan keluarga dan kawan-kawan, gajet menjadi penghubung kami,” katanya.

Bercerita mengenai pengajiannya, Soo menambah, dia sangat sibuk dengan kelas dan kajian ilmiah.

“Sebenarnya, saya seperti bekerja kerana menyerap segala ilmu yang ada. Masa juga bagai selalu cemburukan saya. Di sini, saya sibuk dengan rakaman muzik dan membuat persembahan.

“Berikutan itu, saya terpaksa mengurangkan perjalanan pulang ke Malaysia… Mungkin Julai depan saya balik sekejap,” katanya.

Soo berkata, mengikut perancangan awal, dia sepatutnya mengikuti pengajian di kampus utama Berklee College of Music di Amerika Syarikat (AS).

“Namun, program sarjana saya diubah lokasi ke kampus cawangannya di Valencia. Jadi saya terpaksa berada di sini sehingga program selesai,” katanya.-Bharian

ep2p-2