Rakan Sangka Kijang Sebelum Lepas Tembakan

IPOH – Mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Gerik Khamis lalu dipercayai ditembak rakannya yang menyangka mangsa merupakan seekor kijang sebelum melepaskan tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut dan berjaya menahan tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an dan 65 tahun dipercayai rakan mangsa pada pukul 9.30 pagi semalam.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek telah keluar bersama mangsa untuk memburu di kawasan hutan dengan menggunakan senapang patah buatan sendiri.

“Sewaktu memburu, mereka telah berpecah dan salah seorang rakan mangsa dipercayai melihat kijang sebelum melepaskan tembakan yang mengakibatkan kematian mangsa.

“Hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek petang tadi,mereka telah menunjukkan selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Yahya, salah seorang suspek berusia 65 tahun mempunyai lesen senjata api dan telah memberikan peluru yang digunakan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga Selasa depan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi,24, ditemui di dalam hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau di Gerik dalam keadaan terbaring selepas tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam sebaik gerakan mencari dilakukan orang kampung pada pukul 4 petang Khamis lalu, lapor Kosmo

Menurut abang mangsa, Mohd. Hazwan,29, mayat adiknya ditemui tidak jauh lokasi motosikalnya dilihat oleh penduduk kampung dan memaklumkan bahawa mangsa sering masuk ke hutan berhampiran untuk memikat burung.

ep2p-2