PKR Perlu Tanding Lebih Kerusi Kerana Kami Kerajaan Di Selangor – Dr Xavier

KLANG — Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu bertanding di semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata naib presiden parti itu Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata parti itu yakin dapat merampas beberapa kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum ke-13.

“Kami bertanding 21 kerusi pada pilihan raya lepas dan kami bercadang untuk bertanding di 21 kerusi yang sama (pada PRU14). Kami yakin dapat menanginya,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ceramah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis perayaan Ponggal di Kapar semalam.

Dr Xavier berkata PKR harus diberi keutamaan bertanding lebih banyak kerusi di Selangor memandangkan Menteri Besar dan timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pemimpin negeri ini.

“Ada beberapa pihak yang mahukan (jumlah) kerusi yang sama tetapi PKR ingin menegaskan bahawa kami adalah kerajaan di negeri ini dan Menteri Besar adalah daripada parti kami… oleh itu, kami yang harus bertanding lebih banyak kerusi di Selangor,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13 di Selangor, PKR bertanding di 21 kerusi DUN dan memenangi 14 daripadanya.

Bagaimanapun, bilangan itu berkurangan kepada 13 apabila bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pilihan raya lepas, dipecat PKR pada 2014.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, berkata beliau tidak pasti sama ada anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang merupakan timbalan presiden PPBM, akan bertanding kerusi DUN di Selangor.

“Saya tidak tahu tentang itu. Beliau akan bertanding tetapi saya tidak tahu di mana,” kata Dr Mahathir semasa ditanya mengenai dakwaan bahawa Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah, akan bertanding di Selangor.

Ditanya mengenai isu perebutan kerusi antara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor di negeri itu, Dr Mahathir berkata ia perlu diselesaikan secara dalaman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘serangan’ pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim terhadap Mohamed Azmin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor membabitkan isu pengagihan kerusi di negeri itu.

Sebelum ini, Mohamed Azmin mendakwa Amanah Selangor ‘tidak amanah’ dan berbohong apabila menyatakan tiada jawatankuasa khas pembahagian kerusi DUN dibentuk oleh PH.

Sebaliknya, beliau berkata sudah empat kali mesyuarat diadakan bagi membincangkan soal pembahagian kerusi DUN itu. — Bernama

ep2p-2