Pemain, jurulatih perlu isytihar harta?

Image result for Tan Sri Aseh Che Mat fam

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kemelut gejala mengatur perlawanan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) yang kembali ‘muncul’ sejak kebelakangan ini bakal menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak tegas dengan menguatkuasakan beberapa tindakan termasuk meminta pemain, pegawai pasukan termasuk jurulatih bola sepak mengisytiharkan harta masing-masing tidak lama lagi.

Ia merupakan sebahagian daripada tindakan FAM untuk memastikan gejala tidak sihat tersebut dapat dibanteras apabila ia kembali ‘mengganggu rentak’ Liga M selepas kancah bola sepak negara ‘hampir lumpuh’ disebabkan perbuatan mengatur perlawanan melibatkan pemain secara ‘besar-besaran’ dalam tahun 1994.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, badan induk tersebut tidak pernah berpeluk tubuh dalam menangani isu tersebut malah menegaskan mereka mempunyai beberapa langkah untuk mencegah daripada aktiviti jijik itu daripada terus bermaharajalela.

Selain itu, kata beliau, pemain import yang akan beraksi dalam Liga M akan dibuat tapisan bagi memastikan rekod mereka benar-benar bersih daripada gejala tersebut.


“FAM tidak akan berdiam diri dalam hal ini dan kami memang memandang serius terhadap sindiket mengatur perlawanan Liga M dalam kalangan pemain.

“Bagi memastikan integriti Liga M terjamin, FAM ada mengambil beberapa langkah mengelak daripada berlakunya gejala tidak sihat ini dan antaranya adalah setiap pemain import perlu menjalani tapisan terlebih dahulu.

“Tapisan yang dimaksudkan adalah kami akan menyemak sama ada pemain tersebut ada memiliki rekod jenayah lampau atau pernah mengatur perlawanan dan sebagainya. Kemudian setiap pengurus pasukan dan pemain perlu mengisytihar harta yang mereka miliki.

“Jika FAM mendapati mereka secara tiba-tiba memperoleh kekayaan yang mencurigakan, siasatan akan dilakukan. Kami juga ada mengumpul maklumat setiap perlawanan dalam Liga M kerana jika tiada maklumat tersebut bagaimana FAM dapat mengenalpasti berlakunya sindiket mengatur perlawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Kancah bola sepak tempatan dipalit dengan isu mengatur perlawanan pada minggu lalu apabila dua pemain Sarawak dan seorang bookie direman enam hari untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam mengatur perlawanan Liga Perdana melibatkan Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Februari lalu. Dalam perlawanan tersebut, Sarawak mendahului 2-0 di Stadium Negeri di Kuching tetapi Felcra menghasilkan tiga gol pada minit terakhir permainan untuk menang 3-2.



Mengulas lanjut mengenai insiden yang menimpa Sarawak, Bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu berkata, beliau memuji ketangkasan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam menangani isu tersebut.

“Iktibar yang dapat diambil daripada isu Sarawak adalah mereka cepat bertindak dan sekarang kes itu berada dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan diharapkan siasatan itu dapat membuahkan hasil. Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.


Comments

comments

ep2p-5small