Pelihara Kesucian, Jangan Main Politik Berpuak Di Masjid – Tengku Abdullah

ROMPIN — Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah supaya semua pentadbir dan anggota masjid tidak bermain politik bagi menjaga kesucian dan kemuliaan tempat ibadah.

Baginda bertitah tanggungjawab memelihara kesucian masjid perlu dilaksanakan secara bersama oleh penduduk yang turut menggunakan masjid berkenaan dan bukan diletakkan di bahu mereka yang dilantik sebagai pentadbir semata-mata.

“Perjalanan masjid harus diatur dengan baik dan bagi masjid baharu, pilih ahli pentadbir yang tepat… jangan pilih yang sekadar hendak menggunakan masjid sebagai platform atau batu loncatan untuk karier masing-masing.

“Saya tak mahu ada yang berpuak-puak atau ada sifat tidak percaya dalam diri. Kalau ke masjid datang untuk beribadat dan bukan mengumpat, mencela atau mengata… jika hendak juga, elok keluar dan pergi ke bawah pokok atau ke mana-mana asalkan bukan di masjid,” tegas baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah masjid baharu Kampung Sungai Puteri di sini, hari ini, yang turut dihadiri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

Masjid baharu yang dapat memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa itu dibina dengan kos RM7 juta melibatkan dua fasa pembinaan yang dijangka siap pada September 2019.

Tengku Abdullah betitah masyarakat juga perlu memainkan peranan melaporkan kepada polis atau majlis agama jika berlaku kegiatan politik di masjid.

“Saya mahu masjid benar-benar suci… tidak ada perasaan berbelah, rasa berbeza atau orang ini topinya (politik) biru, kuning atau hijau. Masuk masjid perlu rasa tenang dan kecualikan daripada masalah politik,” titah baginda.

Pada perkembangan lain, Tengku Abdullah juga menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan pembangunan Islam di Pahang, yang disifatkan baginda sebagai hasil kerjasama semua pihak di negeri ini.

Titah baginda, kejayaan itu juga membolehkan rakyat negeri ini menikmati kemudahan yang baik seperti pembinaan masjid yang cantik, sempurna dan selesa yang diharapkan akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka sama-sama mengimarahkannya.

“Kejayaan ini bukan terletak pada sultan atau mufti semata-mata tetapi juga sokongan rakyat yang sentiasa patuh dan mengikut pandangan serta arahan daripada pihak istana.

“Saya bersyukur kerana boleh merasai pengurusan hal berkaitan Islam di Pahang begitu terurus,” titah baginda. — Bernama

ep2p-2