Keputusan PAS Muktamad Tidak Kerjasama Dengan PH – Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Pas sekali lagi menegaskan tidak akan menjalinkan kerjasama politik sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada saat-saat akhir walaupun ada pandangan mendakwa Pas mungkin akan melakukan ‘pusingan U’ di saat akhir.

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan keputusan Pas sudah muktamad dan hanya bersama dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14  (PRU14) akan datang.

“Itu saya yakin tidak akan berlaku, Pas terus akan kekal dengan Gagasan Sejahtera dan bertanding atas kekuatan Gagasan Sejahtera,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di sini malam tadi.

Ketika ditanya mengenai bai’ah ke atas calon, beliau menjelaskan perkara tersebut masih belum lagi diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak.

Namun keadah bai’ah akan diteruskan ke atas calon seperti amalan sebelumnya.

Katanya kemungkinan bai’ah dengan lafaz taklik talak isteri tidak disertakan dalam bai’ah kali ini termasuk di Kelantan dan negeri lain.

Sebelum ini hanya Kelantan berbaiah yang disertakan dengan lafaz taklik talak isteri disebabkan situasi semasa pada ketika itu untuk tujuan mengikat wakil rakyat dari melompat parti. – Awani

ep2p-2