Apa Guna Tanding Banyak Kerusi Tapi Tak Menang, Kata Naib Presiden PKR

SHAH ALAM – PPBM boleh meminta seberapa banyak bilangan kerusi DUN yang mereka mahukan untuk bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, namun kriteria calon yang dipilih adalah berdasarkan faktor winnability atau ‘kemampuan untuk menang’.

Itu maklum balas yang diberikan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor Dr Xavier Jayakumar selepas ditanyakan tentang hasrat PPBM yang mahu bertanding di 12 kerusi DUN milik Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Ujarnya, faktor ‘winnability’ sangat penting bagi memastikan PH terus kekal memerintah Selangor.

“Semua orang ada ‘figure’ mereka, tetapi kita kena tengok, saya pegang kuat dengan apa yang Pengerusi PH kata, ‘winnability’ yang dia katakan, tidak kira parti dan calon dari mana, kita tidak ambil kira.

“Itu yang memang penting dan kita utamakan dalam negeri Selangor.

“Kalau parti kata dia nak 13, 12, 15 dan sebagainya kalau tidak boleh menang apa guna?,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 200 bantahan terhadap syor kedua kajian persempadanan semula Selangor di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Selangor, pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM memohon 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, PKR juga turut berhasrat meletakkan calon mereka di semua kerusi terbabit.

Menurut Sallehuddin, PPBM tidak akan bertolak ansur malah mempertahankan permohonan berkenaan.

Sementara itu, Xavier memaklumkan PH Selangor akan menyelesaikan isu agihan kerusi di negeri itu sekitar akhir bulan ini.

Katanya, perkara itu masih dalam perbincangan antara semua parti komponen dalam PH namun beliau percaya, ia mampu dimuktamadkan sebelum Mac ini.

“Kita akan selesaikan dalam akhir bulan ini sebab Pengerusi PH Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kata kita kena selesaikan juga di dalam Selangor,” katanya.

Xavier dalam kenyataannya semalam memberitahu, baki kerusi yang menjadi pertindihan itu akan dibincangkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Namun, ketika ditanya berapa banyak lagi kerusi yang masih belum diselesaikan, Xavier tidak memperincinya dengan jelas.

“Kira-kira 15 kerusi lagi, mungkin.. Mungkin 15 ke 20 kerusi” katanya ringkas selepas mesyuarat itu pada Isnin.

Terdahulu pada mesyuarat Jawatankuasa Agihan Kerusi minggu lalu, PH Selangor hanya berjaya menyelesaikan pertindihan empat kerusi DUN, dengan masih berbaki 21 kerusi daripada 56 kerusi yang belum diselesaikan.

Empat kerusi itu ialah kawasan yang sekarang diwakili pembangkang Selangor atau PAS.

Mesyuarat minggu lalu itu turut menyelesaikan isu status quo pada kawasan yang memang dimiliki DAP (15 kerusi), PKR (15 kerusi) dan Amanah (2 kerusi).

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. PAS mempunyai 13 kerusi dan Umno 12 kerusi.

Dua kerusi diwakil ADUN Bebas, iaitu Pelabuhan Klang dan dan Teluk Datok dahulunya kerusi PKR dan DAP. – AntaraPos

ep2p-5small