14 pemain darah campuran sedia julang Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Kesebelasan utama skuad kebangsaan mungkin akan dibarisi oleh pemain berdarah campuran keseluruhannya dalam masa terdekat.

Dengan La-Vere Corbin-Ong menjadi pemain berdarah campuran terkini mendapat kerakyatan Malaysia, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe kini mempunyai pilihan pemain lebih luas berbanding pengendali sebelum ini.

Dalam tempoh hanya lima tahun, Persatuan Bola Sepak Malaysia yang sebelum ini tidak membenarkan pemain naturalisasi menyertai skuad kebangsaan, kini menggalakkan kepulangan pemain yang mempunyai darah campuran Malaysia.


Di bawah peratuan FIFA, pemain perlu mempunyai pertalian darah dengan negara yang mahu diwakilinya, sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara itu.

Sehingga kini, 14 pemain kelahiran luar negara diberikan kerakyatan tetapi kebanyakan mereka bermain di posisi tengah dan pertahanan dengan hanya Darren Lok dan Sam Somerville satu-satunya penyerang dan penjaga gol dalam senarai berkenaan.

Walaupun Cheng Hoe tidak akan membentuk pasukan yang majoritinya dibarisi pemain berdarah campuran, beliau masih boleh memanggil seberapa ramai yang dirasakan perlu bagi memperkuat Harimau Malaya.

Darren yang juga penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengetuai jentera serangan manakala rakan sepasukannya, Natxo Insa menjadi arkitek di bahagian tengah dan disokong pemain Perak, Brendan Gan serta gandingan FELDA United, Curran Ferns dan Stuart Wark.

Pertahanan pula akan dibarisi bek tengah Bangkok Glass Kiko Insa, Khair Jones dari Melaka, pemain serba boleh PKNS FC, Daniel Ting dan Matthew Davies dari Pahang serta Corbin-Ong (JDT).

Somerville (JDT) akan menjaga gawang manakala Nick Swirad (Melaka), Shazalee Ramlee (Sarawak) dan Kevin Gunter bersedia di bangku simpanan.

Dalam bayangan kesebelasan utama ini, pertahan JDT Junior Eldstal tidak disenaraikan kerana dia dilahirkan di Sabah tetapi dibesarkan di Sweden dan England.



Bekas pengendali skuad kebangsaan B Sathianathan berkata, Cheng Hoe mempunyai senarai pemain naturalisasi yang mantap menjelang perlawanan persahabatan dengan Mongolia dan kunjungan kelayakan Piala Asia ke Lubnan bulan depan.

“Jika pemain ini ada ketika saya menjadi jurulatih kebangsaan, sudah pasti ia memberikan perbezaan ketara,” kata Sathianathan yang memegang jawatan itu dari tahun 2007 hingga 2009 dan kini bersama skuad Liga Perdana FELDA United.

“Lihat bagaimana Singapura memenangi Piala Suzuki AFF 2012 dengan pemain asing dan Filipina mengikut jejak mereka sekarang dan semakin dekat untuk layak ke Piala Asia.

“Pemain naturalisasi ini akan kembali melonjak pasukan kebangsaan. Apabila mendapat keputusan negatif, ia tidak membantu mengembangkan bola sepak negara.”

Pasukan kebangsaan belum pernah menang dalam 10 perlawanan terakhir mereka sejak November 2016 dan Cheng Hoe kini perlu menamatkan kemarau kemenangan apabila bertemu Mongolia, 22 Mac ini.

Cheng Hoe berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk memanggil pemain naturalisasi berdasarkan prestasi mereka bersama kelab masing-masing.

Daripada 14 pemain berkenaan, hanya Davies (14 kap), Darren (9), Brendan (8), Kiko Insa (6), Khair (4) pernah menyarung jersi Harimau Malaya.



Brendan adalah pemain naturalisasi pertama dipanggil mewakili Malaysia ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

“Jika kita berterusan kalah, generasi muda akan melupakan bola sepak dan kita tidak akan dapat membentuk pemain tempatan berkualiti. Sebab itu kita perlukan pemain naturalisasi untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap.

“Orang tidak peduli sama ada mereka pemain tempatan atau naturalisasi kerana apa yang mereka lihat ialah pemain Malaysia dalam jersi Malaysia,” kata Sathianathan. – BH


Comments

comments

ep2p-5small