SEREMBAN: Kejayaan membantu skuad muda negara mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China baru-baru ini menyuntik semangat dan keyakinan tinggi pemain muda Negeri Sembilan, N Thanabalan membantu pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia.


Penyerang berusia 22 tahun itu berkata, kejayaannya menjaringkan gol ketika bertemu Korea Selatan sememangnya memberi impak positif terhadap keyakinan diri dan persembahannya.

Justeru, dia bertekad untuk memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman beraksi di pentas tertinggi itu untuk membantu skuad Hobin Jang Hobin memberikan saingan dan seterusnya melakar kejayaan musim ini.



Walaupun kedudukannya dalam senarai kesebelasan utama pasukan bimbingan jurulatih dari Jerman, Jorg Steinnebrunner itu belum pasti, namun dia bertekad untuk memberikan persembahan terbaik andai diberi peluang beraksi.

“Setakat ini, saya belum dapat pastikan sama ada berpeluang untuk berada dalam senarai kesebelasan utama kerana masih ramai penyerang berpengalaman yang berada dalam pasukan.



“Bagaimanapun, jika saya disenaraikan, sudah pasti saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik kerana saya ingin membantu Negeri Sembilan meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan, apa lagi kali ini bersaing dalam Liga Super yang menjanjikan cabaran lebih sengit.

“Apa pun, saya juga yakin dengan kehadiran ramai pemain berpengalaman termasuk import dalam pasukan kali ini, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan untuk membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan,” katanya selepas sesi latihan di Padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, pagi tadi.


Comments

comments