Shahrel Fikri setia bersama PKNP

KUALA LUMPUR: Shahrel Fikri Fauzi menamatkan spekulasi berkenaan masa depannya apabila dia melanjutkan kontrak bersama Perak SEDC (PKNP).

Keputusan itu dialu-alukan oleh pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim selepas penyerang itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Liga Super dan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan khabar angin itu tamat apabila PKNP hari ini mengumumkan yang Shahrel sudah menandatangani lanjutan kontrak untuk setahun serta akan kekal bersama kelab sehingga 2020.

Abu Bakar yang sebelum ini terpaksa menerima hakikat bakal kehilangan Shahrel selepas kelab itu naik ke Liga Super, gembira dengan keputusan pemain itu untuk kekal bersama PKNP.

“Saya juga terkejut dengan keputusannya tetapi dengan Shahrel terus kekal, ia satu dorongan yang besar buat kelab,” kata Abu Bakar berkenaan penjaring 20 gol musim lalu itu.



“Mungkin dia merasakan ini adalah pilihan terbaik untuk kariernya dan dia juga sudah cukup gembira bermain di sini.”

Bagi Abu Bakar, kehadiran pemain 23 tahun itu yang memenangi anugerah penyerang terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan bulan lalu cukup penting buat PKNP.

“Sepanjang dua tahun lalu, dia menjadi tonggak kepada kemaraan PKNP dari Liga FAM ke Liga Super. Dia memberi sumbangan yang amat besar kepada perkembangan kami dan saya percaya dia akan membantu kami mencapai lebih banyak kejayaan dalam musim baharu nanti,” katanya.



Shahrel yang kontrak lamanya bakal tamat pada tahun 2019, kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan otot yang dialami ketika mewakili negara Oktober lalu tetapi Abu Bakar menjangkakan pemain itu akan sedia beraksi apabila kempen bermula pada 3 Februari nanti.

Abu Bakar ketika ini sedang fokus untuk mengisi dua lagi slot import di mana pencarian untuk posisi penyerang dan bek tengah sedang giat dijalankan.


Comments

comments

ep2p-5small