Farid Kamil Direman 4 Hari

PELAKON dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menampar anggota polis trafik selain menendang dua orang awam di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Farid yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis pada 10.07 pagi sebelum diiiringi anggota polis ke kamar Mahkamah Majistret pada 10.35 pagi untuk prosiding reman berkenaan.

Prosiding itu mengambil masa 15 minit sebelum beliau dibawa keluar pada 10.50 pagi.

Turut kelihatan, adiknya, Fadzil Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Dalam kejadian pada 1.20 tengah hari semalam, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Farid dikatakan mengamuk setelah ditunjukkan artikel di telefon bimbit ‘300 Artis Pinjam Ah Long’.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun itu, suami kepada pelakon jelita, Datin Diana Danielle, 27, itu dikatakan berkelakuan ganas dengan menendang dua orang awam di lokasi sama.

Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, beliau dikatakan menahan kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana di Petaling Haya pada 12.30 tengah hari.-Hmetro

ep2p-5small