VIDEO Mangsa Culik Di Kilang Ditemui Berdarah

SHAH ALAM: Ibu kepada dua anak yang diculik pagi semalam ditemui di kawasan kilang di Seksyen 36, dekat sini, malam tadi, dalam keadaan berdarah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata mangsa ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

“Mangsa yang ditinggalkan berseorangan di kawasan kilang menjerit meminta tolong sebelum didengari oleh orang awam yang ada di situ.

“Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah hospital swasta di Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang menculiknya.

“Mangsa mendakwa, ketika dilarikan beliau dipukul selain matanya ditutup.

“Beberapa barang miliknya seperti telefon bimbit turut dilarikan dan kini polis giat mengesan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.


 

Sementara itu, adik mangsa, S Sathya, 33, berkata barang kemas milik kakaknya turut dilarikan.

Beliau berkata, ketika ditemui kakaknya berada dalam keadaan lemah selain cedera di beberapa bahagian badan.

Semalam, S Jothimani, 49, yang berkerja sebagai penyelia kilang di Kampung Jawa, dekat sini, dilarikan di hadapan kilang tempatnya berkerja oleh tiga lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Jothimani menerima panggilan telefon memintanya keluar untuk mengambil barang, yang kononnya dibeli secara dalam talian.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil barang berkenaan, beliau dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Mercedes Benz.


Comments

comments

ep2p-2