Majlis Nikah, Sanding Skala Besar

TARIKH 6 Oktober lalu menjadi momen bermakna buat pasangan selebriti, Elfira Loy dan Sufian Suhaimi yang bertunang di kediaman pihak perempuan di Cheras, Kuala Lumpur.

Merancang mahu mendirikan rumah tangga pada Mac tahun hadapan, Elfira,23, bagaimanapun mengakui, masih belum membuat persiapan besar.

Sebaliknya, pelakon drama Dalam Hati Ada Taman di samping aktor Indonesia, Randy Pangalila ini memberitahu, ada ketikanya dia terlalu cerewet hingga menyebabkan perancangan atau persiapan terpaksa dilakukan saat akhir.

“Saya masih lagi belum buat sebarang persiapan besar. Cuma adalah kunjungi beberapa dewan untuk majlis sanding nanti. Tapi itulah, saya jenis yang suka buat sendiri dan kalau boleh, saya mahu apa yang diimpikan itu akan dapat direalisasi.

“Tambah pula majlis perkahwinan adalah sesuatu yang pertama kali dalam hidup, jadi kami mahu sesuatu yang bermakna dan akan diingati sampai bila-bila,” kata Elfira yang sebelum ini terfikir mahu melangsungkan majlis kahwin dalam suasana serba ringkas sahaja.

Pun demikian, kata Elfira setelah berbincang bersama keluarga, majlis nikah dan sanding perlu dilakukan dalam skala yang lebih besar, meriah bagi meraikan keluarga, sahabat-handai, rakan niaga serta rakan media yang selama ini banyak menyokong perjalanan kerjaya keduanya.

“Lagi pula, ia sesuatu yang baik. Jadi kami okay saja dan mungkin sebab itulah, saya jadi sedikit fussy sebab mahukan yang terbaik,” luah Elfira yang ditemui di majlis ramah mesra bersama pengguna jenama kecantikan, Maydan di Melawati Mall, baru-baru ini.

Elfira merupakan duta kerana jenama terkenal tersebut selain hero Coffee Prince, Fattah Amin.

Sempena majlis yang bermula sekitar jam 2 petang itu, bintang asal Kuala Lumpur tersebut turut berpeluang mengisi masa bersama peminat, pengguna produk Maydan selain bergambar secara eksklusif dengan pembeli bertuah.

Dugaan selepas bertunang

Sementara itu, Elfira juga tidak mahu terlalu memikirkan dugaan selepas menjadi tunangan orang sebaliknya lebih fokus dalam perkara yang dilakukan ketika ini.

“Saya sedar, bila sudah bertunang akan wujud istilah pasangan bertunang akan banyak hadapi dugaan, ‘berdarah manis’ dan sebagainya. Bagaimana pun, kami tidaklah mahu fikirkan hal tersebut secara mendalam kerana itu hanya buatkan diri masing-masing lebih tertekan. Baik saya mahupun Suhaimi, kami lebih gemar berbincang kalau berlaku perselisihan faham. Itu lebih baik.

“Bohonglah kalau tidak ada gaduh langsung, tapi itulah, kami cuba handle dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, setakat ini baik-baik sahaja. Cuma, bila sudah bertunang, kami makin banyak berkongsi mengenai kerjaya memandangkan masing-masing terlibat dalam seni. Banyak projek yang kami rancang pada depan, insya-ALLAH,” terang Elifra positif.

Terlibat program Islamik

Elfira yang mesra disapa El ini baru saja selesai menjalani penggambaran drama 24 episod, Syurga Bukan Percuma yang kini bersiaran di Astro Oasis.

Pada masa sama, El juga kini sibuk dengan program Tahfiz Muda musim terbaru sebagai pengacara belakang tabir bagi program yang bakal ditayangkan Disember depan.

 

Menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang untuk turut sama terlibat di dalam rancangan berbentuk Islamik itu, Elifra mengakui dapat kumpul banyak input berguna selain dapat menzahirkan rasa terharu, kagum atas kebolehan kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafal al-Quran dengan baik.

“Bila dapat tawaran berkenaan, rasa teruja dan gembira kerana Tahfiz Muda merupakan program yang baru bagi saya. Banyak pengalaman positif yang diperoleh menerusi rancangan tersebut dan pastinya, selepas lebih 10 tahun berlakon, rasanya inilah masa terbaik untuk terokai bidang lain selain berlakon semata-mata.

“Memang sudah ada pengalaman menjadi pengacara sebelum ini, tetapi bila bersama Tahfiz Muda, saya rasa gembira sebab buatkan diri lebih banyak berfikir dan belajar. Apatah lagi bila melihat kebolehan istimewa anak-anak kecil yang fasih membaca dan menghafal ayat-ayat suci al-Quran, pengalaman tersebut menjadi lebih indah dan bermakna,” akhiri Elfira jujur.-Sinar

ep2p-5small