Kemampuan Benar-Benar Teruji | SUARA TV

Kemunculan penyanyi Alif Satar dalam drama Red Velvet yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria ternyata ditunggu ramai.

Dalam pada peminat mengkritik lakonan heroinnya, Neelofa, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 27, memberikan aura berbeza.

Malah, ada peminat yang sanggup menonton drama itu semata-mata ingin menyaksikan lakonan Alif.

Ada yang beranggapan Alif menjadi penyelamat kepada drama yang diadaptasi daripada novel popular itu.

Bagaimanapun, Alif yang popular menerusi lagu Jangan Nakal enggan mendabik dada sebaliknya menyifatkan kejayaan drama itu hasil kerja berpasukan.

“Secara peribadi, saya bersyukur apabila peminat menonton drama ini disebabkan saya. Sebagai pelakon, saya gembira apabila peminat boleh menerima lakonan saya. Sudah semestinya saya berbangga apabila ada yang beranggapan sedemikian.

“Namun, saya tidak melihat ia sebagai kejayaan sendiri sebaliknya lebih kepada kerja berpasukan.

Bagi saya, kejayaan sesebuah drama datangnya daripada keseluruhan produksi. Kami bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dalam drama ini. Begitu juga dengan semua pelakon terbabit.

“Sepanjang 11 tahun berada dalam industri hiburan, saya melihat setiap kejayaan diraih memang dibantu oleh pasukan yang ada. Namun, saya tetap menghargai setiap pujian diberikan,” katanya.

Alif tetap memberi kredit kepada Neelofa walaupun kebanyakan komen diterima mengentam cara lakonannya yang dikatakan kaku.

“Saya berlakon dengan Neelofa, jadi saya tahu bagaimana dia bekerja keras untuk watak diberikan. Saya beranggapan dia berjaya menghidupkan watak seperti diinginkan pengarah. Dia bukan suka-suka atau sengaja berlakon sebegitu.

“Saya kagum dengan kemampuannya untuk memberikan komitmen dalam drama ini walaupun dia terikat dengan jadual kerja lain. Walaupun sibuk, dia tetap berjaya menghidupkan wataknya.

“Apa boleh saya katakan, watak kali ini benar-benar menguji kemampuannya sebagai pelakon. Dia memberikan satu gaya lakonan yang berbeza daripada watak sebelum ini. Pendek kata, saya okey dan tak ada masalah dengan lakonannya,” katanya.

Pada masa sama, Alif menafikan dia terpaksa bekerja keras untuk menghidupkan jalan cerita drama ini disebabkan berlakon dengan Neelofa.

“Tidak adil untuk orang bercakap sedemikian. Dahulu ketika mula berlakon, saya bukannya terus bagus. Saya melalui satu proses yang panjang dan sentiasa belajar memperbaiki diri.

“Menerusi drama ini, tidak susah pun nak berlakon dan mencipta keserasian. Apabila semua pelakon faham watak diberikan, ia jadi lebih mudah,” katanya.

Pandai jaga diri

Menelusuri perjalanan seni Alif, tidak pernah dia dihambat kontroversi membabitkan peribadi terutama cinta lokasi.

Sama ada ketika masih bujang dan selepas berkahwin, Alif bersih daripada kisah panas serta sensasi.

“Tidak bermaksud saya bebas kontroversi kerana tidak bercampur dengan orang. Kalau nak tahu, di lokasi saya sangat rapat dengan semua orang.

Cuma, saya sentiasa berpegang pada prinsip dan etika bekerja.

“Bagi saya, ini semua asas yang perlu ada dalam diri. Tidak kira bujang, sudah berkahwin dan mempunyai anak, jangan sesekali cuba melakukan sesuatu yang akhirnya boleh membinasakan diri dan kerjaya.

“Dalam bekerja, saya pentingkan kualiti. Dari dahulu sampai sekarang, cara dan disiplin kerja saya sama saja. Habis bekerja, saya terus pulang ke rumah. Jadi, untuk terkena aura negatif memang susah. Saya sendiri sudah tahu batas,” katanya.

Alif berkata, dia bernasib baik apabila sepanjang terbabit dalam bidang lakonan dia dikelilingi orang profesional.

Alif mengakui dia belum pernah berdepan situasi ada artis wanita ingin menggodanya.

“Setiap kali keluar bekerja, saya sertakan dengan niat betul. Saya sentiasa semat dalam diri, pembabitan ini untuk industri dan bukan suka-suka. Saya menjadikan bidang seni sebagai sumber pendapatan dan mata pencarian.

“Saya berjuang sejak zaman remaja untuk kerjaya. Saya tidak mahu rosakkan reputasi dibina dengan perkara yang tidak bagus,” katanya.

Bekerjasama dengan Faizal Tahir

Alif kini muncul dengan single Sesungguhnya Aku yang turut dijadikan lagu tema drama Red Velvet.

Menariknya, lagu itu adalah ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong.

Menurut Alif, ia satu kerjasama yang sudah dinantikan sejak dia dan Faizal terbabit dalam program One In A Million musim pertama.

“Sudah lama kami ingin bekerjasama dalam lagu. Cuma, perancangan ini sering tertunda disebabkan kekangan masa dan komitmen kerja lain. Kiranya, drama ini menyatukan sekali gus merealisasikan impian kami.

“Apabila penerbit drama ini memberi lampu hijau untuk saya menyanyikan lagu tema, saya berasakan lagu ini sangat sesuai.

Bukan nak puji lagu sendiri, tetapi lagu ini memang sedap. Malah saya berharap lagu ini boleh pergi jauh,” katanya.

Selain itu, Alif bakal mengerjakan ibadah umrah bersama ibu bapanya pada 23 November ini. Kemudian Alif bakal mengacarakan satu lagi program terbitan Astro.

Pada masa sama, Alif juga teruja untuk memulakan penggambaran filem arahan Nabil Ahmad dan Helmy Yusof bergenrekan komedi seram.-Hmetro

ep2p-2