Jangan Pandang Rendah Pada Pasukan ‘Kampung’ Seperti Kedah – Azraai Khor

ALOR SETAR – Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak seharusnya memandang rendah terhadap pasukan underdog atau pun pasukan ‘kampung’ seperti Kedah pada saingan akhir Piala Malaysia kali ini.

Kenyataan seperti JDT tidak perlu menang Piala Malaysia untuk buktikan mereka kuat itu menunjukkan mereka terlalu yakin bahawa mereka adalah pasukan hebat.


Bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Kedah memiliki pemain yang seimbang dalam semua posisi dan mampu mencatat kemenangan ke atas raja bola sepak Malaysia itu.

“Walaupun kami pasukan kampung tetapi kami kuat dan mampu setanding dengan raja bola sepak Malaysia itu.

“Saya yakin pemain sudah melakukan persediaan secukupnya dan mampu menang dalam perlawanan akhir itu nanti hasil gabungan pemain senior dan muda yang berkualiti dalam pasukan,” katanya.

Anak jati Kedah yang pernah menaikkan nama Lang Merah itu yakin pemain dapat menepis dan kuatkan mental menghadapi segala serangan agresif dan permainan pantas JDT berdasarkan perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman baru-baru ini.



“Memang kita tahu JDT agresif dalam corak serangan mereka, tetapi perlawanan di Kedah tempoh hari apa jadi? Mereka langsung tak boleh tembusi pertahanan Kedah.

“Kedah juga juara Piala Sumbangsih dan Piala FA tahun ini selain juara bertahan Piala Malaysia. Jadi tiada alasan untuk Lang Merah gerun dengan mereka dan JDT tidak boleh pandang rendah keupayaan kami,” katanya.

Tambahnya, JDT dilihat sengaja mencetuskan provokasi melalui sentimen di laman Facebook rasmi mereka.

Jelasnya, pemain Kedah tidak perlu ambil peduli tindakan pasukan itu sebaliknya menumpukan kepada perjua-ngan yang menanti mereka di Stadium Shah Alam.

“Bagi saya semua pemain telah matang dan ini kali ketiga Kedah berada di final Piala Malaysia. Setiap tahun skripnya tetap sama mesti ada provokasi dari pihak lawan.

“Dan pemain berjaya menangkis semua provokasi itu dengan baik dan memenangi Piala Malaysia tahun lalu,” katanya. – Kedahnews.com


Comments

comments

ep2p-2