Isu Safiq: Ramai Tunggu Ulasan Jawatankuasa Tatatertib FAM

HANYA Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang boleh menentukan sama ada kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim (gambar) akan berdepan hukuman atau sebaliknya.

Ia susulan tindakan perancang tengah JDT itu yang didakwa mencarut untuk melepaskan geram kepada pengkritiknya ketika meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia adalah di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Tatatertib.

“Perkara itu di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib dan mereka yang akan buat (keputusan). Kalau ada kes, adalah dan kalau tiada kes, tiadalah. Saya tidak boleh komen lebih lanjut,” kata Hamidin ketika ditemui di sini, malam tadi.

Bagaimanapun Hamidin tidak menganggap perkara itu akan mengganggu fokus Safiq untuk beraksi pada perlawanan kedua berdepan Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Isnin ini.

“Saya tahu isu itu banyak dimainkan di media sosial sebelum ini. Tapi saya fikir Safiq adalah pemain berpengalaman, dia tahu bagaimana nak uruskan diri.

“Jika diturunkan pada aksi kedua berdepan Korea Utara nanti, saya yakin dia mampu kawal perasaan dan tekanan,” katanya.

Sementara itu bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berkata, meskipun insiden itu berlaku selepas wisel penamat dibunyikan, namun jawatankuasa itu memiliki bidang kuasa untuk menyiasat segala insiden yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan.



Bagaimanapun, Kamaruddin bersetuju dengan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, yang menyatakan jawatankuasa berkenaan perlu menunggu laporan mengenai insiden itu sebelum membuat penilaian dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Secara asasnya, kita perlu melihat bila insiden itu berlaku dan dalam kes Safiq ini, insiden berlaku semasa perarakan selepas tamat perlawanan Piala Malaysia membabitkan pasukan JDT dan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

“Disebabkan ia berlaku selepas perlawanan, jadi jawatankuasa boleh menyiasat insiden itu dengan lebih lanjut dan secara peribadinya, saya melihat tindakan berkenaan satu kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain profesional.

“Jika dilihat kepada hukuman yang dikenakan atas kesalahan sama sebelum ini, kemungkinan besar Safiq boleh dikenakan denda termasuk juga penggantungan perlawanan, namun semuanya terserah kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Comments

comments

ep2p-5small