Hanya JDT Ke AFC Cup 2018

KUALA LUMPUR: Hanya pasukan Pahang boleh mengisi satu lagi slot yang diperuntukkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada Malaysia dalam saingan Piala AFC tahun depan.


Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata skuad Tok Gajah layak mengisi slot berkenaan bagi menggantikan Kedah yang tidak dapat beraksi akibat tidak memiliki lesen badan induk bola sepak Asia itu.

Katanya, jika Pahang memenuhi syarat kelayakan tetapi enggan menyertai kejohanan itu, secara automatik slot berkenaan terbatal dan tidak boleh diberikan kepada pasukan lain.

“Bila pasukan sudah memenuhi syarat kelayakan tapi menarik diri, maknanya slot itu akan hangus atau hilang sebab kita anggap negara itu tak nak gunakan slot berkenaan. Jadi, kami hanya boleh ucap terima kasih.

“Pahang tidak salah, tapi rugilah sebab slot itu boleh membantu ranking Malaysia untuk masa depan. Jika pasukan itu berjaya bermain dengan baik, maknanya ranking pasukan negara itu akan naik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Satu slot awal ke kejohanan Piala AFC bagi mewakili Malaysia sebelum ini diisi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super manakala slot kedua menjadi milik Kedah atas kapasiti sebagai juara Piala FA.

Namun naib juara Piala Malaysia itu tidak boleh beraksi kerana tiada lesen daripada AFC.



Berikutan itu, FAM menawarkan slot kedua itu kepada Pahang atas kapasiti sebagai naib juara Liga Super dan Piala FA.

Bagaimanapun Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) membuat keputusan mengejut apabila menolak tawaran berkenaan.

Keadaan itu sekali gus hanya meninggalkan JDT sebagai pasukan tunggal daripada Malaysia menyertai kejohanan itu ketika ini.

Windsor turut mengesahkan pihaknya masih menunggu surat pengesahan daripada FAM berhubung keputusan Pahang menolak tawaran beraksi di Piala AFC.

“Kami belum dapat surat rasmi daripada FAM dan hanya mendengar berita itu menerusi laporan media.

“Jadi saya nak bagi komen lebih lanjut pun susah. Jadi, sekarang ini kami hanya menunggu surat pengesahan daripada FAM untuk melihat apa yang badan induk itu akan maklumkan kepada kami,” katanya.


Comments

comments

ep2p-5small