Doa kami…

Doa sebelum kami ber musafir…
 

“Ya Allah, kami memohon keampunan Mu ya Allah. Kami memohon rahmat Mu ya Allah. Kami memohon taufik dan hidayah Mu, ya Allah. Kami dijemput oleh Mu bagi menunaikan ibadah umrah pada tahun ini. Kami bersyukur atas segala nikmat yg Engkau berikan kepada kami sekeluarga.


Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamu Mu ya Allah. Tetamu yang paling istimewa ya Allah, tetamu yang paling-paling istimewa ya Allah. Kami tahu, Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah, ampunilah diri kami ya Allah.


Ya Allah, Kau peliharalah keselamatan dan kesihatan ahli keluarga kami di Malaysia. Tenangkanlah hati mereka. Jangan Kau cetuskan rasa rindu kepada kami sepanjang kami menjadi tetamu Mu ya Allah. Kau hilangkan lah rasa rindu kami kepada mereka semasa kami berada di sana.


Ya Allah, berikanlah kesihatan kepada ibu bapa kami, jiran dan teman2 kami. Kau lindungilah mereka. Masukkanlah mereka dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Kau balaslah budi baik mereka  dengan memberi kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan akhirat. Kau ampunilah dosa dosa mereka ya Allah.


Ya Allah, Kau ampunilah diri kami. Ya Allah, kami pergi ke rumah Mu semata mata untuk beramal ibadah kepada Mu. Janganlah Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau sukarkan perhubungan antara kami.


Ya Allah, Kau berilah perasaan kasih sayang, cinta mencintai antara kami suami isteri dan adik beradik, saling maaf bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham memahami dan saling kasih mengasihi. Ya Allah, jauhilah kami dari bertelingkah dan berselisih faham yang boleh menjejaskan amal ibadah kami di sana nanti ya Allah. Jangan Kau uji kami dalam soal ini ya Allah.


Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami. Bermula dari kami keluar dari rumah ini sehinggalah kami kembali ke sini. Janganlah kami terjebak dengan sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk sampai ke rumah Mu. Jauhilah kami dari mala petaka atau bencana yang akan menimpa kami Ya Allah.


Ya Allah, jangan Kau pisahkan kami. Berilah ketenangan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan kami dari perasaan kerap membuang air kecil. Peliharalah kesihatan kami, mudah mudahan dengan kesihatan yang Kau berikan. Dapatlah kami beramal ibadah untuk mendekatkan diri kami kepada Mu.


Ya Allah, hanya pada Mu lah, tempat kami bergantung harap. Berikanlah kemudahan kepada kami sekeluarga. Berikanlah keistimewaan kepada kami dalam segala perkara. Tempatkanlah kami dikawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Ya Allah, kami memohon kepada Mu agar tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada tujuan kedatangan kami ke Tanah Haram ini.


Ya Allah, kami mahu beramal ibadah kepada mu. Semata mata untuk Mu, ya Allah. Permudahkanlah makan minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Kau berikanlah kesabaran kepada kami dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan disana nanti.


Ya Allah, semasa kami di Madinah nanti, Kau berikanlah rasa cinta, rasa sayang dan rasa kasih kepada Masjidil Nabawi. Ya Allah, kami mahu yang terbaik. Kamu mahu beramal ibadah di sana. Berikanlah kami peluang menziarahi dan melalui Makam Rasulullah. Berilah kami ruang untuk bersembahyang di Raudah. Cukupkanlah sembahyang kami sekurang kurangnya 40 waktu secara berterusan.


Berilah kami peluang untuk melakukan yang terbaik di sana nanti ya Allah.

Ya Allah, kami akan mengerjakan ibadah umrah. Kau terimalah ibadah ini ya Allah. Semasa kami di Mekah nanti, mudahkanlah kami melakukan ibadah umrah Ya Allah.


Berikanlah laluan dan lorongan bagi kami melakukan tawaf umrah. Permudahkanlah kami melakukan sai’. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kesihatan untuk kami melakukan amal ibadah ini. Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan rasa jarak yang jauh, hati yang malas dan tenaga yang tiada.


Ya Allah, semasa kami berada di Tanah Haram nanti, janganlah Kau lalaikan kami dengan bersenang lenang dan malas beramal ibadah. Ya Allah, kami hadir sebagai tetamu Mu dalam keadaan jahil. Kaulah yang dapat membantu kami.


Ya Allah, berikanlah kami perasaan jatuh cinta kepada Masjidil Haram. Gerakkanlah hati kami supaya sentiasa berada di sana. Beramal ibadah di sana. Itulah cita-cita kami ya Allah. Kami datang semata mata kerana Mu ya Allah. Kerana Mu ya Allah. Ya Allah, tutuplah pintu hati kami daripada lalai membeli belah di sana nanti.


Ya Allah, penuhilah ruang masa kami dengan melakukan amal ibadah yang sepatutnya kami lakukan. Ya Allah, kami ingin khatam Al Quran di Masjidil Haram Ya Allah. Ya Allah, kami ingin bersembahyang di Hijir Ismail Ya Allah. Ya Allah, kami ingin mencium Hajar Aswad. Ya Allah, kami ingin berdoa dihadapan Multazam ya Allah. Berilah ruang kepada kami apabila kami memerlukannya ya Allah. Berikanlah rasa kasih yang mendalam kepada Masjidil Haram.

Ya Allah, Kau ajarlah kami. Kau bantulah kami. Kau tunjukkanlah dengan sebaik-baik pengajaran. Kau berikanlah ilham untuk kami melakukan yang terbaik. Hanya yang terbaik untuk Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah, hanya kepada mu tempat kami berserah dengan sesungguhnya.


Ya Allah, gerakkanlah hati kami untuk melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Ya Allah, gerakkanlah hati kami bagi membanyakkan amal di Masjidil Haram. Berikanlah perasaan kasih sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah, mudahkanlah untuk kami melakukan ibadah tawaf, bersembahyang dan membaca al quran.


Ya Allah, ampunilah kami. Permudahkanlah perjalanan kami dari Madinah ke Mekah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak dapat kami memikulnya Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada kami. Amankan hati kami. Tenangkan perasaan kami. Ingatkan kami untuk bertalbiah di sepanjang jalan.

Ya Allah, mudahkan urusan kami sepanjang menjadi tetamu Mu. Ya Allah, tetapkan hati kami untuk beramal ibadah. Ya Allah, kuncilah mulut kami daripada bercakap perkara yang tidak memberi faedah. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang, menghabiskan masa dan membazir waktu.


Ya Allah, berikanlah taufik dan hidayah Mu kepada kami. Kau berikanlah kerahmatan Mu kepada kami. Ya Allah,selepas selesai segala-galanya, kami memohon kepada Mu, permudahkanlah perjalanan pulang kami. Jauhilah kami dari malapetaka sepanjang perjalanan pulang kami. Berikanlah keselamatan kepada kami sehingga kami dapat berjumpa dengan ahli keluarga kami. Ya Allah, Kau berkatilah kami ya Allah. Ampunilah kami ya Allah.


Ya Allah, kami ini adalah manusia jahil. Kami ini manusia yang kerdil. Kami banyak dosa kepada Mu. Ampunilah kami. Kami pergi menunaikan umrah semata mata kerana ketakutan dan keinginan untuk menyampaikan rasa syukur kami kepada Mu. Kau yang Maha Berkuasa. Kau yang memakbulkan segala permohonan hamba Mu. Ya Allah, kami mahu yang terbaik, yang teristimewa dan yang terpilih diantara jutaan hamba-hamba Mu.


Ya Allah, berikanlah dan kurniakanlah umrah yang mabrur kepada kami sekeluarga, umrah yang Kau redhai dan yang mulia disisimu. Ya Allah, apabila kami pulang ke Malaysia nanti, kami mahu berubah ya Allah. Kami mahu menjadi manusia yg lebih baik disisimu.

Ya Allah, berikanlah kebahagian kepada kami sekeluarga. Berikanlah rezeki yang halal dan jauhilah kami daripada mereka yang suka membuat fitnah. Kaulah yang mencipta kami dan kami hanyalah hamba Mu yang hina dan tidak berpengetahuan.


Ya Allah, sekiranya kami dipanggil oleh Mu, Kau masukkanlah kami dikalangan orang yang beriman, mereka yang beramal soleh. Kau tempatkanlah kami di dalam syurga Mu yang paling istimewa. Syurga Firdaus ya Allah. Kami mohon keredhaan Mu.
 
terima kasih pada  http://sallymzain.blogspot.my

ep2p-5small