Berang Tertinggal Bas, Lelaki Tikam Pemandu Diburu

SEORANG penumpang menikam pemandu bas ekspres di belakang badan dengan pisau di Stesen Bas Ekspress Bukit Lagi, Kangar, hari ini selepas dipercayai berang ditinggalkan ketika berhenti di terminal bas di Alor Setar, Kedah.

Dalam kejadian 10.30 pagi, mangsa Mohd Fakhri Yahya, 33, cedera di belakang bahu kiri dan menerima tiga jahitan akibat ditikam penumpang yang dibawanya dari Larkin, Johor Bahru.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya panggilan jam 11 pagi daripada kerani syarikat bas berkenaan itu memaklumkan seorang pemandunya cedera ditikam oleh penumpang.

Menurutnya, mangsa memandu bas ekspress dari Stesen Bas Larkin, Johor Bahru ke Perlis yang bertolak malam semalam.

“Ketika bas berkenaan berhenti untuk menurunkan penumpang di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah suspek turun untuk ke tandas tanpa memaklumkan mangsa.

“Sejurus keluar dari tandas dan menuju ke bas suspek mendapati bas terbabit sudah meninggalkannya menuju ke Stesen Bas Ekspress Kangar.

“Suspek dalam keadaan marah pergi ke kaunter bas di Terminal Bas Shahab Perdana untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya menyewa teksi menuju ke Stesen Bas Ekspres Kangar.

“Setibanya di stesen suspek meluru ke dalam bas berkenaan dan terus menikamnya di belakang bahu menyebabkan mangsa cedera.



“Dia kemudian melarikan diri manakala mangsa yang cedera berjalan ke kaunter tiket bas berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Wari berkata, kejadian berlaku pantas dan mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan ambulans untuk dirawat dan sudah dibenarkan pulang.

“Pihak polis turut merampas senjata dipercayai digunakan suspek dan sebuah beg besar berisi pakaian miliknya yang ditinggalkan dalam bas berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. Suspek kini sedang dikesan,” katanya. – HMetro


Comments

comments

ep2p-2