BIARPUN berdepan saingan sukar apabila diundi bersama pasukan dari negara-negara Arab pada Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23), skuad muda negara usah berasa gentar.

Ini kerana skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee masih ada masa untuk membuat persiapan menjelang saingan itu di Jiangsu, China pada Januari tahun depan.

Bekas jurulatih kebangsaan negara, Wan Jamak Wan Hassan menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perlawanan persahabatan di negara-negara Arab bagi membantu Kim Swee merangka taktikal ketika beraksi di kejohanan berprestij Asia itu nanti.


“Tidak guna jika kita bermain lawan Thailand atau Myanmar (dalam aksi persahabatan). Lebih baik bertemu Korea Selatan atau Jepun jika tidak mahu ke negara Arab kerana jika kalah dalam perlawanan persahabatan ia membuka ruang untuk kita perbaiki kelemahan,” katanya.

Bekas jurulatih Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula menggesa para pemain mengambil peluang itu dengan lebih bersemangat berbanding memikirkan rasa takut untuk berdepan pasukan-pasukan negara Arab.

Kelmarin, skuad muda diundi bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kumpulan C sekali gus menimbulkan rasa gusar para peminat bola sepak tempatan berdasarkan kekuatan pasukan negara-negara Arab itu.


Comments

comments