Lagi Kes Tahanan Polis Lolos

LELAKI yang kini dalam tahanan reman membabitkan kes rompakan meloloskan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di Kuching, tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, Zulkipli Morni, 34, berada di bilik pengawal IPD Kuching bersama beberapa tahanan lain.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Abang Junaidi Abang Anuar berkata, ketika kejadian suspek membuka garinya sendiri sebelum melarikan diri dengan menaiki Proton Iswara berwarna putih yang menanti di kawasan pintu masuk IPD Kuching.

Menurutnya, kereta dinaiki suspek dipandu individu lain dipercayai rakannya dan kejadian itu dilihat orang awam yang berada di depan IPD sebelum memaklumkan kepada polis.

“Kehilangan suspek disedari anggota polis bertugas dan usaha mengejarnya tidak berjaya selepas suspek terus menaiki kereta yang bersedia menantinya di luar kawasan IPD Kuching.

“Polis kini mengesan suspek dan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek tidak dapat dicam kerana ia sudah diubah suai,” katanya.



Abang Junaidi berkata, polis sudah menggerakkan anggota menjalankan sekatan jalan raya menerusi Ops Tutup di sekitar daerah ini untuk mengesan suspek.

Katanya, orang awam mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dan sesiapa didapati melindungi suspek juga boleh didakwa kerana bersubahat.

“Siasatan lanjut terhadap anggota polis yang bertugas ketika kejadian juga akan dijalankan sekiranya terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan suspek meloloskan diri,” katanya.

Untuk rekod kes tahanan lolos berlaku pada September lalu apabila seorang tahanan yang dipercayai mempunyai kunci pendua gari melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Georgetown.

Pada Julai lalu juga berlaku kejadian seorang tahanan lolos ketika van polis berhenti ditepi jalan.

Seorang tahanan di IPD Klang Utara juga berjaya lolos pada Jun lalu.


Comments

comments

ep2p-5small