Gandingan Pandelela-Mun Yee masih berbisa

BIARPUN sudah setahun lebih tidak berpasangan, penerjun negara Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong masih mempamerkan bisa apabila memenangi pingat emas acara 10 meter platform seirama wanita pada hari terakhir Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur FINA, hari ini.

Mun Yee, 32, berkata, kali terakhir mereka bergandingan pada Siri Terjun Dunia di Beijing apabila memenangi pingat gangsa dalam acara yang sama, Mac tahun lalu.

“Bagi saya persembahan biasa saja kerana kami tidak dapat melakukan persiapan dengan baik kerana masa yang suntuk selepas berakhirnya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos lalu,” kata Mun Yee di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Gandingan negara memenangi emas selepas mengumpul 311.28 mata, perbezaan 30.60 mata di depan pasangan Australia, Emily Boyo-Nikita Hains (280.68 mata) yang merangkul perak sementara gangsa dibawa pulang gandingan Korea Selatan, Kim Suji-Cho Eunbi (275.10 mata).



Ditanya mengenai jarak mata yang diperoleh penerjun negara berbanding penerjun Australia, Mun Yee berkata, dia tidak memikirkan mengenai saingan lawan kerana memberi fokus kepada terjunan sendiri sahaja.

Terdahulu, Nur Dhabitah Sabri yang bergandingan dengan Gabriel Gilbert menghadiahkan pingat perak acara 3m papan anjal seirama campuran dengan 272.19 mata, hanya dibezakan 3.15 mata di belakang pemenang emas, Reo Nishida-Hazuki Miyamoto dari Jepun. Gangsa dimenangi pasangan Korea Selatan, Suji-Woo Haram (268.02 mata).

“Saya rasa terjunan saya tadi teruk sedikit. Itu yang membuatkan saya agak sedih kerana ketinggalan dengan perbezaan mata yang sedikit dan menyebabkan terlepas emas.

“Bagaimanapun ini penyertaan pertama saya di GP jadi banyak lagi yang saya perlu baiki bagi persediaan kejohanan selepas ini,” kata Gabriel yang berusia 16 tahun dari Kota Kinabalu.- Hmetro


Comments

comments

ep2p-2