Elly Pilih ‘Degil’ Untuk Masa Depan

Demi nasib dan masa depan anak, penyanyi Elly Mazlein kekal teguh dengan memilih jalan mahkamah dan enggan berlembut dengan bekas suaminya.

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu mengulas demikian ketika ditanya sama ada dia lebih selesa memilih jalan berdamai dengan pengarah drama Azmi Mohd Hata seperti sesetengah golongan selebriti lain yang pernah bercerai.

“Kak Lina terpaksa berkeras hati demi anak. Jalan untuk berdamai hanya dipilih jika dia (Azmi) mengikut seperti diperintahkan mahkamah.

“Hal itu terutama berkaitan nafkah bulanan yang perlu diberikan kepada Sefhia,” katanya.

Sefhia atau Putri Sara Sefhia nama bagi anak perempuan yang dilahirkan hasil perkongsian hidup Elly dengan Azmi.

Mahkamah rendah syariah Sepang sebelum ini memerintahkan bekas suami Elly membayar nafkah anaknya berjumlah RM1,500 sebulan.

Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, itu ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta produk makanan tambahan Lentik Dara di Kuala Lumpur hari ini.

Elly dan Azmi berkahwin 19 November 2014 tetapi mereka bercerai pada 15 Oktober dua tahun lalu ketika penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu sedang hamil empat bulan.

Azmi kemudian berkahwin dengan pelakon Faye Kusairi pada 9 April lalu.

Pelbagai spekulasi yang diperkatakan tentang sebab kehancuran rumah tangga yang dibina bekas pasangan suami isteri itu.

Azmi pernah memaklumkan kepada media, alasannya berjauh hati dengan Elly berpunca daripada sifatnya yang begitu kuat cemburu.

Drama Elly-Azmi umpama tiada noktah dan terlalu kerap juga wanita berstatus ibu tunggal itu diajukan persoalan mengenai jodoh.

Mengambil pendirian tidak cepat melatah, Elly mengakui dia lebih gemar melayankan saja karenah berkenaan berbanding cepat terasa hati.

“Saya faham sebagai seorang selebriti yang sudah berpisah daripada suami dan kini bersendirian pula memelihara anak perempuan, pasti ada yang ingin mengetahui perkembangan terkini.

“Saya akan menjawab supaya memudahkan kerja mereka yang bertanya dan ya saya tidak pula bosan memberikan jawapan,” katanya.-Malaysiakini

 

ep2p-5small