Dari Sektor Korporat Kepada Peninju Muay Thai Profesional

Sukan lasak kini tidak asing lagi dalam kalangan wanita. Baik sebagai pelumba motosikal, ‘drifter’ profesional, mahupun sebagai atlet bina badan, semakin ramai wanita menceburi sukan yang didominasi lelaki sebelum ini.

Kenali Germaine Yeap. Berusia 32 tahun, beliau kini menjadikan sukan tinju Mix Martial Art (MMA) sebagai karier sepenuh masanya selepas membuat keputusan berani meletakkan jawatan bekerja di sebuah bank, lapor MD.

Menurut Germaine, rata-rata ahli keluarganya menceburi bidang perbankan semenjak moyangnya menubuhkan sebuah bank di Malaysia yang kemudiannya diwarisi datuknya.

Ujar beliau, maka tidak hairan ibu bapa beliau juga mengharapkan setiap anak-anak mereka mengikut jejak sama bagi mewarisi tradisi keluarga sejak sekian lama.

Membesar sebagai gadis yang lasak, Germaine berkata beliau memang bercita-cita untuk peninju Muay Thai, walaubagaimanapun terpaksa mengikut kehendak keluarga bekerja di bank.

“Saya rasa sangat penat dan cepat letih. Saya menjadi orang yang negatif,” ujarnya menjelaskan kariernya dalam bidang korporat cuma bertahan selama lima tahun sebelum membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Dan bertitik-tolak daripada saat itulah, Germaine meneruskan minatnya dalam seni mempertahankan diri Muay Thai dan menjadikan sukan tinju sebagai karier sepenuh masa.

Perjalanannya tidak mudah kerana bagi ahli keluarganya, seni mempertahankan diri bukanlah sebuah karier berbanding dunia perbankan yang lebih menjamin dari aspek kewangan.

Namun, Germaine tetap meneruskan hasratnya mencapai sasaran iaitu bergelar juara kejohanan tinju MMA.

Berbekalkan tekad dan azam yang tinggi, beliau pernah menjulang beberapa trofi dalam kejohanan tempatan.

Kini, Germaine beralih daripada peninju kepada pelakon lasak dan pernah tampil didalam beberapa filem dan klip video.

Kata Germaine, ibu bapanya yang tidak merestui keputusannya sebelum ini juga sudah menunjukkan sokongan terhadap karier baru beliau.

ep2p-2