Wanita Muda Tumbuk Dinding Selepas Didenda RM70,000

AYER KEROH: Seorang wanita muda bertindak berang dengan menumbuk dinding selepas Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadapnya atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lalu.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semalam, sebelum disabit hukuman hari ini, di hadapan Hakim Norma Ismail.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, 10.15 malam, 25 Januari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Janariah Mustafa, merayu hukuman diringankan atas alasan insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.



“Saya pohon denda seminimum mungkin dan memohon mahkamah untuk melepaskan Orang Kena Saman (OKS) dengan Bon Berkelakuan Baik di bawah Seksyen 173A dan 294 Kanun Prosedur Jenayah,” kata Janariah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Nurul Khairiyah Samsudin, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit, berikutan proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah selain kes berkenaan bukan pertama di Melaka dan Malaysia.

Selepas mendengar kedua-dua hujah dan rayuan, Norma memerintahkan tertuduh membayar denda RM70,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.


Comments

comments

ep2p-2